Wan Rosdy (kanan) menyempurnakan gimik pelancaran Kad Kesihatan Warga Emas Pahang hari ini. Foto Bernama
Wan Rosdy (kanan) menyempurnakan gimik pelancaran Kad Kesihatan Warga Emas Pahang hari ini. Foto Bernama
BERNAMA

Rompin: Kerajaan negeri buat julung kalinya melancarkan Kad Kesihatan Warga Emas Pahang yang membabitkan 18,000 penerima bersasar dengan peruntukan keseluruhan RM10 juta setahun, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menurutnya, pelaksanaan kad itu yang bernilai RM500 setiap penerima, dibahagikan kepada dua peringkat iaitu fasa pertama membabitkan 9,009 orang penerima Bantuan Orang Tua Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri yang bermula hari ini.

Beliau berkata, bakinya ialah penerima fasa kedua bermula Mac ini, membabitkan warga emas yang dikenal pasti oleh pejabat daerah sebagai mereka yang memerlukan bantuan berkenaan.

"Penerima kad kesihatan ini boleh mendapatkan rawatan prosedur am atau urusan perubatan di 50 klinik swasta yang dilantik sebagai panel.

"Ini memberikan mereka alternatif dalam mendapatkan rawatan selain daripada fasiliti kesihatan kerajaan," katanya.

Wan Rosdy berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan kad kesihatan itu di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini, dan majlis turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Berdasarkan data penerima fasa satu, daerah Kuantan merekodkan jumlah paling ramai iaitu 1,829 orang diikuti Temerloh (1,408 orang), Pekan (1,347 orang), Lipis (996 orang) dan Bentong (762 orang).

Ditanya jika jumlah klinik swasta terbabit akan ditambah, Wan Rosdy berkata, ia bergantung kepada permintaan dan penambahbaikan berdasarkan situasi semasa, dengan keutamaan adalah memastikan keselesaan dan kebajikan warga emas yang menerima manfaat itu.

"Bantuan ini akan diteruskan pada masa hadapan dan kita berharap jumlah peruntukan terbabit boleh ditambah bagi membolehkan lebih ramai menikmati kemudahan ini," katanya.

Wan Rosdy berkata, pemberian kad kesihatan itu juga sebagai tanda komitmen kerajaan negeri dalam memenuhi keperluan asas rakyat daripada segenap usia yang menjadi antara asas Belanjawan Pahang 2022 yang dibentangkan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 6 Disember lalu.

Selain kad kesihatan kepada warga emas, Wan Rosdy turut merujuk kepada pemberian insentif Anak Kebanggaan Pahang kepada 25,000 bayi yang lahir tahun ini membabitkan peruntukan RM5 juta dan insentif Kad Diskaun Pelajar Kebanggaan Pahang berjumlah RM4.87 juta kepada 48,711 pelajar golongan miskin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 9:49 PM