BERNAMA

Kuantan: Pemberian insentif Anak Kebanggaan Pahang bagi bayi yang dilahirkan di negeri ini dinaikkan daripada RM200 kepada RM300 mulai tahun hadapan.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif itu adalah bagi menggalakkan pertambahan penduduk negeri ini.

Katanya, jumlah penduduk negeri ini adalah sekitar 1.67 juta orang masih rendah jika dibandingkan dengan negeri lain.

"Pada 2021, sekitar 25,000 bayi sahaja dilahirkan (di Pahang) dan kita berharap jumlah ini bertambah pada tahun ini, namun jika dilihat pada angka setakat ini kadarnya masih rendah, untuk tujuan itu dan mengambil kira kedudukan kewangan negeri yang baik, kita setuju menaikkan insentif yang diberikan.

"Pemberian insentif ini dibuat secara automatik mengambil kira data kelahiran yang diperoleh daripada Jabatan Kesihatan negeri kerana kita mahu permudahkan birokrasi," katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Anak Kebanggaan Pahang di Taman Bandar, di sini, hari ini.

WAN Rosdy beramah mesra bersama ibu bapa serta bayi, pada Majlis Pelancaran Anak Kebanggan Pahang 2022 (Pahang Pride Kids 2022), di Taman Bandar, Indera Mahkota. FOTO Farizul Hafiz Awang
WAN Rosdy beramah mesra bersama ibu bapa serta bayi, pada Majlis Pelancaran Anak Kebanggan Pahang 2022 (Pahang Pride Kids 2022), di Taman Bandar, Indera Mahkota. FOTO Farizul Hafiz Awang

Menurut Wan Rosdy, pemberian insentif itu membabitkan semua bayi yang dilahirkan di Pahang tanpa mengambil kira negeri asal ibu bapa bayi berkenaan.

Berdasarkan syarat yang diumumkan sebelum ini kanak-kanak itu mestilah warganegara Malaysia dan lahir pada atau selepas 1 Januari 2022.

Insentif itu diumumkan dalam pembentangan Belanjawan Pahang 2022 pada Disember lalu dan kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta bagi manfaat 25,000 bayi.

Ia membabitkan bayaran RM100 dalam bentuk wang simpanan manakala RM100 berupa barangan keperluan bayi dan ibu.

Selain itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri juga melaksanakan program 'satu bayi, satu pokok' sebagai simbolik meraikan kelahiran selain menjadi nilai tambah kepada usaha kerajaan Pahang memulihara alam sekitar.

Program penanaman pokok itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Pahang yang menyediakan anak pokok dan kawasan tanaman, manakala Bank Rakyat menyumbang RM250,000 bagi pembelian anak pokok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 3:59 PM