ANAK ikan atau benih di perairan Kuala Muda, Kedah, mati kerana terperangkap akibat penggunaan peralatan yang tidak dibenarkan. FOTO Ihsan CAP
ANAK ikan atau benih di perairan Kuala Muda, Kedah, mati kerana terperangkap akibat penggunaan peralatan yang tidak dibenarkan. FOTO Ihsan CAP
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Aktiviti pencerobohan bot pukat tunda, rawa sorong dan penggunaan bubu naga di perairan Kuala Muda, Kedah, menyebabkan lebih 1,000 nelayan pantai di kawasan itu terjejas sumber pendapatan.

Sehingga kini masih tiada tindakan berkesan diambil pihak berkuasa walaupun ia sudah lama berlaku.

Nelayan, Amin Abdul Hamid, 43, berkata, sejak nelayan bot pukat tunda, rawa sorong dan bubu naga itu menjalankan aktiviti di perairan berkenaan, didapati hidupan laut semakin pupus.

Manakala benih ikan, udang, ketam dan lain-lain turut musnah akibat penggunaan peralatan berkenaan.

"Kami juga mengalami kerugian berpuluh ribu ringgit kerana alat tangkapan musnah akibat dilanggar oleh bot itu.

"Jika kejadian ini gagal ditangani dengan berkesan oleh pihak berkaitan, kemungkinan mata pencarian nelayan di sini juga akan terputus tidak lama lagi," katanya.

Bagi Mukhlis Mansor, 36, pula berkata, walaupun banyak aduan sudah dibuat kepada pihak berkenaan, masalah itu masih berterusan.

"Menghairankan kerana setiap kali aduan dibuat, nelayan yang menjalankan aktiviti haram itu menghentikan operasi mereka serta-merta dan kemungkinan perkara itu berlaku akibat kebocoran maklumat pengadu.

"Sebelum ini, nelayan memperoleh pendapatan lebih RM200 setiap kali turun ke laut tetapi sekarang hanya mendapat antara RM30 hingga RM40 sahaja," katanya.

Pengkalan nelayan yang terbabit ialah Teluk Nipah, Teluk Amboi, Pulau Sayak dan Tanjung Dawai.

Difahamkan, bot pukat tunda yang menceroboh zon tangkapan nelayan pantai di sini berpengkalan di Kuala Kedah, manakala nelayan bot pukat rawa sorong dan bubu naga pula dari daerah Yan.

Aktiviti haram berkenaan sering dilakukan sekitar jam 12 tengah malam sehingga 6 pagi, antara 100 meter hingga empat kilometer dari pantai manakala kawasan tumpuan operasi bot itu ialah di perairan Pulau Bidan, Tanjung Jaga dan Singkir.

Sementara itu Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata, penguatkuasaan undang-undang yang lemah menyebabkan masalah itu berlarutan hingga sekarang.

Akibatnya, bukan sahaja nelayan pantai terus tertindas malah ribuan metrik tan anak ikan atau benih musnah setiap hari dan jika dibiarkan boleh menyebabkan kepupusan sumber perikanan serta menggugat sektor berkenaan.

"CAP menggesa Jabatan Perikanan Kedah dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) supaya membanteras aktiviti haram ini serta perlu menguatkuasakan Akta Perikanan 1985 dengan tegas dan berkesan.

"Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) digesa campur tangan dan menjalankan siasatan dengan segera terhadap aduan yang dikemukakan nelayan pantai.

"Pihak berkaitan juga perlu menyalurkan bantuan atau pampasan setimpal kepada mereka yang terbabit dengan kerosakan alat tangkapan akibat dilanggar bot pukat tunda ketika menceroboh Zon A di perairan itu," katanya menerusi kenyataan di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 1:10 PM