SEBUAH bot dikesan menutup nombor bagi mengaburi pihak berkuasa.
SEBUAH bot dikesan menutup nombor bagi mengaburi pihak berkuasa.
Noor Hidayah Tanzizi

JABATAN Perikanan Perak menahan empat bot nelayan tempatan bersama lapan kru termasuk tujuh warga Myanmar di lokasi berasingan sekitar perairan Bagan Datuk dan Pantai Remis dekat Lumut di sini, semalam.

Dalam operasi itu, bot yang ditahan masing-masing dua bot pukat tunda dan rawa sorong yang melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985.

Ketua Pangkalan Utama Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) Kampung Acheh, Mansor Yobe berkata, pihaknya menahan dua bot pukat tunda zon B1 iaitu sebuah bot bersama empat kru warga Myanmar di kedudukan 7.37 batu nautika dari pantai Sungai Tiang Rungkup, Bagan Datuk jam 7.50 pagi.

Menurutnya, sebuah lagi ditahan pada kedudukan 7.5 batu nautika dari lokasi sama dan pihaknya turut menahan seorang rakyat tempatan serta tiga warga Myanmar yang berkerja di atas bot berkenaan.

“Kedua-dua bot terbabit dikesan menjalankan aktiviti memukat tunda kurang lapan batu nautika dari pantai, tidak mengusahakan sendiri selain menggunakan saiz mata pukat kurang 38 milimeter (mm) dan kru warga asing.

“Selain itu, sebuah bot turut dikesan menutup nombor satu pada kod zon bot untuk mengaburi pihak berkuasa manakala sebuah lagi menggunakan kod zon tidak mengikut spesifikasi ditetapkan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

KOD zon tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
KOD zon tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Mansor berkata, dua bot pukat rawa sorong pula ditahan jam 4.50 dan jam 5.30 pagi semalam di kedudukan 1.3 dan 1.2 batu nautika dari Pantai Panchor, Pantai Remis.

“Bagaimanapun tiada kru bot yang ditahan kerana mereka melarikan diri ke pantai selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Pukat rawa sorong diharamkan penggunaannya kerana ia memerangkap atau membunuh anak ikan dan benih udang. Selain itu, ia mencemarkan dasar laut dan boleh mengancam sumber perikanan negara pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 7:20 AM