Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: "Saya terduduk selepas melihat kawasan kebun jagung yang sebelum ini menghijau bertukar menjadi tasik selepas ditenggelami air banjir pada Jumaat lalu," kata Idris Hassan, 65.

Idris berkata, hujan lebat berterusan pada minggu lalu menyebabkan paras air Sungai Pahi meningkat naik secara mendadak sehingga menyebabkan keseluruhan tanaman jagung yang ditanam di pinggir sungai, musnah.

Katanya, pada pagi Jumaat lalu, tanaman jagung yang ditanam di atas tanah seluas 1.2 hektar yang diusahakan bersama adik-beradiknya ditenggelami air banjir separas dua meter (m).

"Bagaimanapun, pada petang itu, air sudah surut, namun pada waktu malam, hujan kembali lebat dan sekali lagi tanaman jagung ditenggelami dan paras air pada kali ini lebih tinggi iaitu separas tiga m.

"Kesemua 5,000 pohon jagung yang ditenggelami banjir sepatutnya sudah boleh dituai pada bulan hadapan, namun saya hanya berputih mata apabila ia musnah dalam sekelip mata mengakibatkan kerugian sehingga RM50,000," katanya ketika ditemui di kebun jagungnya di Kampung Temalir Lama, di sini, semalam.

Idris berkata, banyak kerugian yang dialaminya dan berharap kerajaan dapat menghulurkan bantuan bagi meringankan beban selain membolehkannya menanam semula tanaman selepas musim tengkujuh.

"Saya memerlukan modal untuk memulakan semula tanaman dan kebiasaannya sebahagian hasil diperoleh daripada jualan jagung akan dibuat modal, tetapi akibat kejadian ini, saya amat memerlukan bantuan.

"Sepatutnya saya mampu meraih hasil jualan jagung sebanyak RM10,000 sebaik ia dituai pada bulan hadapan, selepas dijual kepada pemborong dan penduduk di sekitar Kuala Krai, namun ia tidak menjadi kenyataan apabila semua pokok ditanam musnah ditenggelami banjir," katanya.

IDRIS menunjukkan pokok jagungnya yang musnah selepas ditenggelami banjir, Jumaat lalu. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
IDRIS menunjukkan pokok jagungnya yang musnah selepas ditenggelami banjir, Jumaat lalu. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Bapa kepada lapan anak berusia di antara 15 hingga 40 tahun ini berkata, dia mengusahakan kebun jagung itu sejak 20 tahun lalu dan sepanjang tempoh itu, ini adalah kali kebunnya ditenggelami air pada musim tengkujuh.

"Kebiasaannya saya akan mula menanam anak benih jagung di antara bulan Mac atau April, dan hasilnya dapat dituai selepas mencapai tempoh matang iaitu selama dua bulan setengah.

"Namun pada kali ini ia ditanam lebih awal berbanding biasa, namun tidak menyangka lain pula yang jadinya dan yang paling pelik banjir pada bulan Februari adalah di luar jangka.

"Saya berasa sedih apabila melihat pokok jagung yang ditanam pada awal Januari lalu mati dan kesemuanya sudah mencapai tempoh matang.

"Bagaimanapun, saya perlu reda kerana kesemua pokok jagung ini mati disebabkan bencana alam dan menganggap apa yang berlaku adalah ujian daripada Allah SWT," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 8:14 AM