AHMAD Irham memulakan semula penanaman cili setelah hilang punca pendapatan selepas kebunnya ditenggelami air di Kampung Sri Tanjung pada Disember tahun lalu. FOTO Mohd Fadli Hamzah
AHMAD Irham memulakan semula penanaman cili setelah hilang punca pendapatan selepas kebunnya ditenggelami air di Kampung Sri Tanjung pada Disember tahun lalu. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Norzamira Che Noh

Kuala Lumpur: Walaupun mengalami kerugian hampir RM100,000 selepas kebun cili fertigasi diusahakan di Dengkil, Selangor, ditenggelami banjir besar Disember tahun lalu, Ahmad Irham Mohd Noor tetap gigih bangkit semula mengusahakan tanaman berkenaan.

Ahmad Irham, 41, yang juga bekas jurugambar akhbar memaklumkan, sebanyak 2,500 polibag membabitkan 5,000 anak pokok cili yang baru sahaja sebulan ditanam musnah dalam bencana banjir itu.

Katanya, semua anak pokok rosak ditenggelami banjir selama enam hari apabila banjir naik sehingga ke paras pinggang dewasa.

"Anggaran kerugian termasuk anak pokok cili, baja, racun dan lain-lain mencecah RM100,000. Untuk memulakan semula tanaman ini, saya memerlukan sekurang-kurang RM15,000.

"Tidak mahu menunggu terlalu lama, saya berusaha mengumpul modal semula untuk memulakan semula tanaman cili kerana ia adalah sumber pendapatan saya kini.

"Alhamdulillah, semalam saya selesai menanam 2,500 polibag anak pokok cili di tanah seluas satu ekar dengan bantuan keluarga serta rakan-rakan," katanya tadi.

Berkongsi mengenai insiden banjir yang berlaku, Ahmad Irham berkata kebiasaannya dia akan tidur di kebun pada hujung minggu (Jumaat, Sabtu dan Ahad).

Bagaimanapun ketika hari kejadian (18 Disember), dia berada di rumah di Putrajaya.

"Saya tergamam apabila laluan ke kebun cili dinaiki air keesokan harinya. Ketika itu saya tahu tiada apa boleh dilakukan.

"Saya hanya mampu terduduk melihat semua pokok cili saya musnah termasuk baja dan racun yang baru dibeli. Saya memang sedih tapi itu sudah takdir dan saya perlu bangkit semula," katanya.

Ahmad Irham berkata, pokok cili berkenaan kebiasaan sudah boleh dituai selepas tiga bulan ditanam dan mampu mencecah 3,000 kilogram semusim.

Dalam pada itu, Ahmad Irham meminta pihak berkaitan terutamanya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) tampil membantu petani yang terjejas akibat bencana alam sepertinya.

Beliau berkata, sudah dua bulan banjir berlalu dan sehingga kini dia masih menunggu bantuan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 4:10 PM