Izwan melihat kebun jagung mutiara miliknya yang musnah ditenggelami banjir di Kampung Sekara. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Izwan melihat kebun jagung mutiara miliknya yang musnah ditenggelami banjir di Kampung Sekara. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Temerloh: "Saya hanya sempat menuai 100 biji sahaja tanaman jagung mutiara sebelum ditenggelami banjir lebih seminggu," kata pekebun Mohd Izwan Shah Osman, 31.

Dalam kejadian banjir besar minggu lalu keseluruhan kebun tanaman jagung mutiara seluas kira-kira dua hektar di Kampung Sekara, Chenor, di sini musnah.

Menurut Mohd Izwan Shah, dia menanam 10,000 pokok jagung mutiara yang mengambil masa matang selama dua bulan sepuluh hari.

Katanya, sepatutnya dia mampu meraih hasil jualan jagung mutiara lebih RM10,000 namun tidak menjadi kenyataan apabila semua pokok ditenggelami banjir.

"Saya reda apabila semua pokok musnah hanya dalam sekelip mata, impian meraih pendapatan lumayan tidak menjadi kenyataan, ini bukan kali pertama kawasan kebun diusahakan sejak lebih 10 tahun lalu ditenggelami banjir.

"Episod sama turut berlaku pada kejadian banjir besar pada 2007 dan 2014 yang turut menyebabkan kerugian yang hampir sama," katanya, di sini semalam.

Tambahnya lagi, banjir kali ini turut memusnahkan beberapa beg baja disimpan untuk musim akan datang, air naik begitu cepat hingga menyebabkan laluan ke kawasan kebun ditenggelami banjir hingga mencecah dua meter.

"Tahun ini begitu cabar yang menguji keimanan saya kerana selain tanaman jagung mutiara turut ditenggelami banjir ialah rumah serta kedai menjual ayam yang diusahakan.

"Saya dan penduduk hanya mampu melihat bencana banjir yang berlaku di Kampung Sekara sambil berdoa semoga kejadian lebih buruk tidak terus berlaku seperti terjadi pada 2014 yang menyebabkan hampir keseluruhan kampung ditenggelami banjir," katanya yang kini terpaksa mencuci lumpur di rumahnya.

Tinjauan ke beberapa kampung mukim Chenor mendapati banyak rumah ditenggelami banjir hingga mencecah bumbung, kedudukan kampung yang hampir dengan Sungai Pahang dan kawasan sawah padi menyebabkan banjir besar mudah berlaku.

Kehadiran ramai sukarelawan dalam dan luar Pahang yang tampil membantu meringankan beban masyarakat setempat, mereka memberi bantuan keperluan asas selain turut mencuci rumah, sekolah dan masjid yang dipenuhi lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 5:36 PM