Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Pas memberi bayangan sudah mempunyai beberapa kerusi untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Presiden Tan Sri Abdul Hadi Awang bagaimanapun berkata, perbincangan lanjut masih dijalankan dengan rakan dalam Perikatan Nasional (PN).

"Anggaran (kerusi) sudah ada tapi kita akan dengar Pas Johor dan Pas Pusat akan menilai (dan) turun ke bawah.. kawasan yang patut kita bertanding.

"Insha-Allah, kita akan masuk (bertanding) atas tiket PN," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Kuliah Mingguan di Masjid Rusila di sini, hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, pengumuman mengenai calon dan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) ditandingi itu akan dibuat dalam masa terdekat.

Katanya, calon yang akan bertanding mewakili Pas juga dalam kalangan mereka yang mempunyai ciri-ciri seperti seorang yang adil, berpengetahuan dan boleh menjalankan tugas dengan baik.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN Johor diadakan pada 12 Mac ini dengan hari mengundi awal ditetapkan pada 8 Mac, manakala penamaan calon pada 26 Februari ini.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 22 Januari lalu berkenan menandatangani watikah pembubaran Dun Johor untuk memberi laluan kepada PRN.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Februari 2022 @ 1:23 PM