GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kluster Tembok yang membabitkan jangkitan Covid-19 dalam kalangan banduan dan kakitangan Jabatan Penjara kembali mencatat kes yang tinggi di Sabah, semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Tembok Kota Kinabalu 2 itu mencatat sebanyak 104 kes positif Covid-19 setakat ini, termasuk satu kes baharu semalam.

Beliau berkata, kluster berkenaan yang berlaku di Penjara Kepayan, di sini, dikesan pada 1 Februari lalu selepas kes indeks iaitu seorang banduan lelaki tempatan berumur 27 tahun yang bakal dibebaskan didapati positif Covid-19.

"Saringan terhadap semua kontak rapat kemudian mendapati 103 orang lagi banduan dan kakitangan penjara didapati positif, menjadikan jumlah keseluruhan 104 kes positif setakat ini.

"Semua pesakit sudah diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya. Kontak rapat yang tidak bergejala juga diberikan perintah kuarantin," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Kluster Tembok mula-mula diisytiharkan di Sabah pada Oktober 2020 di Penjara Tawau, dan merebak ke Penjara Kota Kinabalu antara Oktober hingga November 2020.

Ia reda dan kembali sekali lagi pada pertengahan tahun lalu.

Sementara itu, Masidi berkata satu lagi kluster berkaitan jangkitan dalam institusi pendidikan turut dikesan di Sabah, semalam iaitu Kluster Jubi Tambulion, Kota Belud yang setakat ini mengumpul 22 kes positif Covid-19, termasuk 15 kes dilaporkan semalam.

Masidi berkata, kluster yang membabitkan pelajar Asrama Jubilee Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambulion itu tercetus selepas seorang pelajar lelaki berumur 17 tahun dikesan positif Covid-19 melalui saringan bergejala pada 12 Februari lalu.

"Saringan terhadap kontak rapat yang terdiri daripada rakan sebilik dan rakan sekelas mendapati lebih ramai yang positif menjadikan jumlah keseluruhannya 22 kes positif setakat ini," katanya.

Semalam, Sabah sekali lagi mencatat kes harian Covid-19 yang tinggi dengan 4,374 kes baharu, naik 339 kes berbanding kelmarin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 8:22 AM