GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Orang ramai diingatkan supaya mendapatkan kit ujian kendiri Covid-19 yang disarankan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan keputusan tepat.

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam Dr Hanafiah Bashirun berkata, hanya kit ujian kendiri Covid-19 'asli' dapat bertindak balas dengan air liur dan antibodi dalam sampel air liur yang diambil.

Beliau berkata, tidak dinafikan ada kit ujian kendiri Covid-19 menunjukkan keputusan tidak jitu, sebab itu KKM menyarankan penggunaan kit ujian yang diluluskan sahaja.

"Pengguna perlu membeli kit ujian kendiri Covid-19 disarankan kerajaan dan di farmasi, ada banyak kit ujian itu yang murah dan palsu di pasaran sekarang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau memberi reaksi itu bagi mengulas berhubung video tular memaparkan keputusan kit ujian kendiri Covid-19 yang positif hanya dengan menggunakan air paip.

Video berkenaan mengundang pelbagai reaksi warganet sehingga ada yang mempersoalkan berhubung keputusan kit ujian kendiri Covid-19 terbabit.

Dr Hanafiah berkata, penggunaan kit ujian kendiri Covid-19 yang tidak sesuai akan menyebabkan keputusan tidak jitu terhasil.

"Jika menggunakan kit ujian kendiri Covid-19 palsu dan melakukan ujian terhadap air longkang sekalipun, kemungkinan keputusannya juga adalah positif.

"Harga kit ujian kendiri Covid-19 kini sudah murah, hanya RM6.90. Pengguna disarankan untuk mendapatkan kit ujian kendiri yang disarankan KKM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Februari 2022 @ 7:30 PM