GAMBAR hiasan. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
GAMBAR hiasan. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
BERNAMA

Kuala Lumpur: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa orang ramai supaya membeli kit ujian kendiri Covid-19 menggunakan sampel saliva atau air liur diluluskan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (PBPP) sahaja dan membelinya daripada penjual sah.

Presiden MMA, Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata, orang ramai perlu menyemak senarai kit ujian kendiri diluluskan melalui laman web PBPP sebelum membuat pembelian bagi mengelak produk tiruan yang boleh menyebabkan risiko keselamatan kerana kualitinya terjejas atau kit ujian dikitar semula.

Beliau berkata, adalah penting untuk orang ramai mengikuti arahan pada kit ujian itu bagi mendapatkan keputusan tepat serta memastikan kit ujian itu dibuang dengan betul setelah digunakan bagi mencegah penyebaran jangkitan.

"MMA bersetuju dengan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) bahawa perlunya peraturan ketat terhadap penjualan kit ujian kendiri Covid-19 kerana penjual tidak sah telah mengiklankan dan menjual kit ujian itu secara terus kepada pengguna menerusi platform media sosial.

"Ada beberapa penjual mendakwa kit ujian kendiri mereka mempunyai ketepatan 99 peratus tanpa mendedahkan jenama produk itu.

"Keadaan ini amat membimbangkan kerana orang ramai boleh mudah terpedaya dengan membeli kit ujian kendiri palsu atau dengan kualiti rendah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Subramaniam turut menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk bekerjasama rapat dengan PBPP dan pihak polis bagi memantau penjualan kit ujian Covid-19, termasuk menyiasat dakwaan kit ujian tidak diluluskan atau tiruan di pasaran.

Pada 11 Ogos lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan senarai penuh jenama kit ujian kendiri Covid-19 yang diberi kelulusan bersyarat untuk penggunaan umum.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 9:03 PM