PETUGAS kesihatan di India mengeluarkan dos vaksin Covaxin keluaran negara itu untuk vaksinasi penduduk. FOTO AFP.
PETUGAS kesihatan di India mengeluarkan dos vaksin Covaxin keluaran negara itu untuk vaksinasi penduduk. FOTO AFP.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-369 hari ini bersetuju memberikan kelulusan vaksin Covaxin sebagai pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana bagi produk vaksin Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, Covaxin digunakan untuk imunisasi aktif bagi mencegah Covid-19 yang disebabkan virus SARS-CoV-2 dalam kalangan individu berumur 18 tahun dan ke atas.

"Kelulusan pendaftaran bersyarat ini masih memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin ini dipantau serta dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

"Ia berdasarkan data terkini dari semasa ke semasa dan bagi memastikan perbandingan manfaat risiko (benefit-risk balance) bagi vaksin ini kekal positif," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Averroes Pharmaceuticals Sdn Bhd adalah pemegang pendaftaran produk, manakala Bharat Biotech International Limited, India pula pengilang untuk Covaxin.

"Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus komited untuk mempertingkatkan akses rakyat kepada vaksin bagi tujuan pencegahan penularan Covid-19 di Malaysia dengan memastikan ia dinilai dengan sewajarnya berdasarkan aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 6:30 PM