Vaksin Astra Zeneca
Vaksin Astra Zeneca
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Malaysia bersetuju membenarkan penggunaan vaksin AstraZeneca dan CoronaVac sebagai dos penggalak kepada individu berusia 18 tahun dan ke atas yang menerima vaksin 'primary series' dari jenis sama.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-366 yang bersidang hari ini.

"PBKD bersetuju memberikan kelulusan bersyarat bagi penggunaan vaksin AstraZeneca dan CoronaVac sebagai dos penggalak kepada individu berusia 18 tahun dan ke atas yang menerima vaksin "primary series" dari jenis yang sama (homologous).

"Dos penggalak bagi vaksin AstraZeneca akan diberikan selepas sela masa enam bulan daripada penerimaan dos kedua vaksin itu manakala bagi vaksin CoronaVac, dos penggalak akan diberikan selepas tiga hingga enam bulan daripada dos kedua diterima.

"Pemberian dos penggalak bagi kedua-dua produk vaksin ini kepada kumpulan sasar tertentu akan diperincikan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Penggalak (CITF-B) dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, kelulusan pendaftaran bersyarat itu memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin berkenaan dipantau dan dinilai berdasarkan data terkini dari semasa ke semasa.

"Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi vaksin itu kekal positif.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga sentiasa komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin Covid-19 di Malaysia dengan memastikan ia sudah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD," katanya.

Noor Hisham berkata, mesyuarat sama juga bersetuju memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat bagi Covid-19 Vaccine AstraZeneca Solution for Injection bagi pengilang ketiga iaitu SK Bioscience Co Ltd South Korea.

"Pemegang pendaftaran bagi vaksin ini adalah AstraZeneca Sdn Bhd.

"PBKD sebelum ini memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat bagi pengilang pertama iaitu AstraZeneca Nijmegen B V Netherlands manakala pengilang kedua adalah Siam Bioscience Co Ltd Thailand," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 6:15 PM