FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kerajaan bersetuju untuk memberikan kelulusan kepada satu lagi vaksin Covid-19 iaitu Spikevax keluaran Rovi Pharma Industrial Services, Sepanyol kepada golongan berusia 12 tahun dan ke atas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, persetujuan dicapai dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-375 yang bersidang hari ini.

Katanya, Spikevax sebelum ini diberi kelulusan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berumur 18 tahun dan ke atas.

"Kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin berkenaan untuk terus dipantau serta dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), berdasarkan data terkini dari semasa ke semasa.

"Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi produk berkenaan kekal positif. Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa komited untuk mempertingkatkan akses rakyat kepada ubat-ubatan bagi tujuan rawatan atau pencegahan penularan Covid-19 di Malaysia, dengan memastikan ia dinilai sewajarnya berdasarkan aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan," katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, sehingga kini PBKD sudah meluluskan vaksin jenis Comirnaty (keluaran Pfizer-BioNTech) dan CoronoVac (keluaran Sinovac Life Sciences Co Ltd, China dan Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd) untuk digunakan bagi kelompok 12 tahun ke atas.

Sehingga semalam, 2,881,619 individu berusia 12 hingga 17 tahun menerima dua dos vaksin Covid-19 dan 45,934 orang mendapatkan dos penggalak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 6:20 PM