APHM mengalu-alukan saranan Majlis Pemulihan Negara (MPN) supaya sempadan negara dibuka sepenuhnya mulai 1 Mac tanpa keperluan kuarantin. FOTO BERNAMA
APHM mengalu-alukan saranan Majlis Pemulihan Negara (MPN) supaya sempadan negara dibuka sepenuhnya mulai 1 Mac tanpa keperluan kuarantin. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pembukaan semula sepenuhnya sempadan negara akan membolehkan pelancong perubatan kembali ke Malaysia untuk menjalani rawatan di hospital yang terhenti sejak awal 2020.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Datuk Dr Kuljit Singh berkata, pihaknya mengalu-alukan saranan Majlis Pemulihan Negara (MPN) supaya sempadan negara dibuka sepenuhnya mulai 1 Mac tanpa keperluan kuarantin.

Katanya, langkah itu juga akan membantu memulihkan sektor pelancongan perubatan yang menjana sebanyak RM1.7 bilion kepada negara pada 2019.

Katanya, persatuan itu mempunyai 151 hospital sebagai ahli di seluruh negara dan majoriti daripada hospital berkenaan merawat pelancong perubatan, terutama dari negara jiran.

"Bagaimanapun, hospital swasta akan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan mengenai saringan pelancong perubatan sebelum menerima pelancong perubatan sebagai pesakit.

"Kami hanya menerima pelancong perubatan yang divaksin sepenuhnya dengan dos penggalak (sebaik-baiknya) supaya kurang risiko bagi mereka mengalami sakit teruk sekiranya terdapat jangkitan Covid-19 semasa menjalani rawatan dan seterusnya melindungi penyedia penjagaan kesihatan tempatan kita," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan kepada kerajaan supaya sempadan negara dibuka seawal 1 Mac ini, tanpa keperluan kuarantin wajib.

Dalam pada itu, Dr Kuljit berkata hospital swasta di negara ini bersedia menerima pesakit dari hospital awam sekiranya berlaku lonjakan kes pesakit Omicron di fasiliti kerajaan.

Beliau berkata, ketika kemuncak kes Covid-19 varian Delta tahun lalu, 113 hospital swasta menerima pesakit dari 49 hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kami yakin untuk meneruskan sokongan kepada kerajaan untuk meringankan beban seperti yang disarankan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam ucapannya pada 7 Februari lalu. Hospital swasta telah dimasukkan dalam Pasukan Petugas Bertindak Pantas Covid-19 (RRTF) Kebangsaan untuk memudahkan proses ini," tambahnya.

Dr Kuljit APHM juga menggesa orang ramai agar segera mendapatkan dos penggalak mereka.

"Ia terbukti di seluruh dunia, vaksinasi lengkap dengan dos penggalak telah mengurangkan kesan lebih teruk wabak dan membantu menggalakkan pemulihan ekonomi dengan pembukaan sempadan antarabangsa," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Februari 2022 @ 1:23 PM