Siti Rohana Idris


Tumpat: Penahanan lelaki membawa kepada penemuan sejumlah 8,000 biji pil kuda bernilai RM80,000 dalam raga motosikalnya di Pasir Pekan, di sini, Ahad lalu.

Suspek berusia 28 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan ketika duduk di atas motosikal Yamaha Y15ZR pada 9.30 malam.

Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, suspek dipercayai pengedar dadah ditahan ketika menunggu pelanggan di atas motosikalnya di hadapan sebuah bangunan.

"Pemeriksaan dalam raga motosikalnya menjumpai sebuah beg mengandungi dua bungkusan berwarna kekuningan berisi 8,000 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM80,000 selain wang tunai RM600.

"Semakan mendapati suspek memiliki empat rekod lampau bersabit kes dadah termasuk pernah ditahan di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) pada 2018," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, di sini, hari ini.

Menurutnya, saringan ujian air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah dan lelaki itu direman selama seminggu bermula semalam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara itu, Mohd Azmir berkata, terdahulu pihaknya menahan seorang lelaki dan merampas 1,000 biji pil kuda di Wakaf Bharu, di sini, pada 4.30 petang hari sama.

Menurutnya, suspek berusia 26 tahun itu disyaki sedang menunggu pembeli di atas skuter Yamaha Ego S dengan menggenggam satu bungkusan kertas kekuningan mengandungi dadah.

"Hasil pemeriksaan menjumpai lima peket plastik mengandungi 1,000 pil kuda dengan nilai anggaran RM10,000 serta wang tunai RM800.

"Hasil siasatan awal mendapati, suspek mengaku menghantar dadah itu dengan menerima upah sebanyak RM100 namun siasatan lanjut akan dibuat.

"Ujian saringan air kencing suspek juga negatif dadah, namun memiliki rekod lampau bersabit kes dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 4:54 PM
MOHD Azmir Damiri (tengah) menunjukkan rampasan 8,000 biji pil kuda ditemukan dalam raga motosikal. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHD Azmir Damiri (tengah) menunjukkan rampasan 8,000 biji pil kuda ditemukan dalam raga motosikal. FOTO Nik Abdullah Nik Omar