Antara pil kuda yang dirampas daripada seorang lelaki  di tepi jalan di Kampung Renyuk di Jeli, kelmarin. Foto Ihsan PDRM
Antara pil kuda yang dirampas daripada seorang lelaki di tepi jalan di Kampung Renyuk di Jeli, kelmarin. Foto Ihsan PDRM
Siti Rohana Idris

Jeli: Lelaki disyaki pengedar dadah ditahan bersama 675 biji pil kuda dan beberapa peralatan termasuk pisau rambo yang dipercayai digunakan untuk kegiatan samun.

Lelaki berusia 27 tahun itu ditahan di tepi jalan di Kampung Renyuk di sini, pada 5.30 petang kelmarin ketika menunggang motosikal.

Ketua Polis Daerah Jeli Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, suspek bertindak melarikan diri ke arah semak di tepi jalan dengan meninggalkan motosikalnya di tepi jalan sebelum berlaku sedikit pergelutan ketika penahanannya selepas dikesna dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan di dalam beg pinggang warna hitam suspek menemui 587 biji pil kuda, manakala sebuah beg yang dijumpai dalam raga motosikalnya pula mengandungi 88 biji lagi pil kuda serta sepaket plastik lut sinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 0.84 gram.

"Pemeriksaan lanjut dalam satu lagi beg menjumpai satu set playar serbaguna, dua bilah pisau rambo bersama sarung," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ahmad berkata, peralatan dan senjata itu dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah samun dan hasil ujian saringan awal air kencing terhadapnya didapati positif methampethamine.

"Hasil semakan yang dibuat, suspek juga didapati memiliki dua rekod lampau bersabit jenayah serta satu berkait dadah dan kini direman selama seminggu bermula semalam hingga 1 Februari ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(1) ADB 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, Seksyen 4 ADB (Perlucuthakkan Harta) 1988 dan Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 9:40 PM