Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kebanyakan penjual ayam di bandar raya ini bersetuju dengan keputusan dan tindakan kerajaan menetapkan harga maksimum runcit bagi ayam standard RM8.90 sekilogram.

Penjual ayam di Pasar Gunung Rapat, Mohd Salleh Mohd Nor, 66, berkata, pengurangan harga ayam itu memberi kemudahan kepadanya menjual lebih banyak ayam kepada pelanggan.

"Memang lagi baguslah harga turun lebih murah daripada harga yang ditetapkan sebelum ini.

"Kalau boleh turun hingga RM7.50 sekilogram itu lagi baik, lagi senang kita hendak menjual," katanya ketika ditemui di pasar berkenaan di sini, hari ini.

Mohd Salleh berkata, dia sedia maklum dengan penetapan harga baharu itu dan baru sahaja mendapat pekeliling berkenaan perkara itu.

"Dalam keadaan hari ini, pelanggan sebenarnya sudah tidak kisah dengan harga naik atau turun paling penting mereka dapat nak makan ayam," katanya.

Beberapa penjual ayam di pasar sama mengakui mereka juga sedia maklum dengan pengumuman perubahan harga itu.

Sementara itu, peniaga kedai runcit di dalam pasar berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, 50, berkata, kedainya kehabisan bekalan telur ayam biasa dan kini hanya menjual telur ayam kampung.

Katanya, dia juga sehingga kini masih belum mendapat pekeliling berkenaan penetapan harga baharu.

Sebelum ini media melaporkan, langkah intervensi kerajaan menetapkan harga runcit bagi ayam standard pada RM8.90 berkuat kuasa hari ini hingga 5 Jun dapat menjamin kestabilan harga ayam dan harga makanan berkaitan.

Harga telur ayam semua gred pula kekal seperti harga kawalan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Februari 2022 @ 4:16 PM