Telur ayam.
Telur ayam.
Hassan Omar


Masjid Tanah: Pengguna menarik nafas lega berikutan tiada kenaikan harga ayam dan telur selepas perayaan Tahun Baru Cina meskipun sebelum ini ia dijangka berlaku.

Situasi itu disifatkan mereka sebagai keadaan yang 'menceriakan poket' pengguna, terutama dalam keadaan terpaksa menghadapi kenaikan kos sara hidup sekarang.

Azirol Ramli, 30, berkata dia bersyukur apabila telur gred A sekarang kekal pada harga RM12.90 sepapan manakala harga ayam standard RM7.99 sekilogram, lebih rendah berbanding RM8.90 yang ditetapkan kerajaan.

"Walaupun ada telur gred B dan C, saya tetap memilih telur gred A kerana pelanggan warung kami dihidangkan telur dadar bersama-sama asam pedas dan sudah tentulah mereka mahukan telur berkualiti tinggi.

"Ayam standard pada harga RM7.99 sekilogram, lebih rendah daripada RM8.90 yang ditetapkan kerajaan dan keadaan ini amat melegakan saya," katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Sementara itu, Farahina Abdul Mutalib, 47, berkata dia lega apabila harga ayam standard di pasar itu di bawah RM8.90 sekilogram selepas mencecah RM9.50 sebulan lalu.

"Saya bimbang jika harga ayam dan telur naik lagi selepas Tahun Baru Cina pada awal bulan ini seperti yang dilaporkan media tetapi Alhamdulillah, keadaan masih terkawal," katanya.

Tinjauan di pasar raya berkenaan mendapati telur gred C yang dijual pada harga RM11.69 hampir habis, dipercayai berikutan permintaan yang tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 3:32 PM