Tinjauan harga barang basah seperti ayam, daging, ikan dan sayur susulan penetapan harga maksimum oleh kerajaan. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Tinjauan harga barang basah seperti ayam, daging, ikan dan sayur susulan penetapan harga maksimum oleh kerajaan. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Ahmad Hasbi

Seremban: Keputusan kerajaan mengawal harga ayam standard dan harga telur semua gred di peringkat peruncit adalah satu tindakan tepat sebagai usaha membantu rakyat dalam situasi ekonomi ketika ini.

Suri rumah dari Seremban 2, di sini, Noor Syuhadah Abd Majid, 31, berkata, meskipun harga ayam standard dikurangkan hanya 20 sen daripada harga siling, ia menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam membantu pengguna.

"Cuma saya berharap peniaga makanan dapat menurunkan harga makanan. Bagaimanapun, saya berpendapat harga makanan tidak akan diturun secara mendadak kerana tidak semua makanan berasaskan ayam.

"Saya membeli ayam sekurang-kurangnya seekor dalam masa seminggu dan dengan adanya kawalan seperti ini serta Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) ketika ini, ia dapat mengawal peniaga daripada meletakkan harga ayam lebih tinggi," katanya.

Noor Syuhadah berkata, dia berharap pihak berkuasa seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dapat membuat pemantauan terhadap peniaga ayam.

"Jika ke pasar raya besar memang mereka mengikut harga ditetapkan dan meletakkan tanda harga. Namun bila pergi ke pasar malam atau kedai runcit, ada yang tidak meletakkan tanda harga.

"Mengenai bekalan telur ayam, kebanyakan kedai runcit dan pasar raya besar masih mempunyai stok telur, namun sukar untuk mendapatkan minyak masak paket 1 kilogram," katanya.

Pekerja swasta dari Kuala Pilah, Norafidah Assan, 36, berkata, pelaksanaan SHMKM dan penetapan harga maksimum bermula 5 Februari depan dapat mengawal peniaga daripada menaikkan harga ayam dan telur sewenang-wenangnya.

"Sebelum ini harga ayam pernah dijual sehingga mencecah RM9.30 sekilogram di daerah Kuala Pilah dan Seremban. Namun dengan adanya SHMKM dan kawalan harga maksimum ini harga ayam serta telur dapat dikawal," katanya.

Media pada 31 Januari lalu melaporkan kerajaan menetapkan harga maksimum runcit bagi ayam standard ialah RM8.90 sekilogram, iaitu pengurangan 20 sen daripada harga siling semasa RM9.10.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Februari 2022 @ 3:13 PM