Alexander Nanta Linggi.
Alexander Nanta Linggi.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kenaikan kos operasi penternakan ayam termasuk peningkatan kos makanan di peringkat global dan kekurangan tenaga kerja akibat sekatan kemasukan pekerja asing antara faktor utama kenaikan harga ayam dan telur 4 Februari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau mengambil maklum berhubung jangkaan kenaikan harga ayam dan telur di pasaran selepas Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) tamat bulan depan.

"Kenyataan ini bukan sengaja diada-adakan tetapi berdasarkan maklumat diterima daripada sesi libat urus pada Khamis lalu bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Kewangan, wakil Agro Bank dan wakil dari Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak (FLFAM).

"Melalui sesi itu, setiap pihak termasuk FLFAM membentangkan faktor kenaikan kos operasi penternakan ayam termasuk peningkatan kos makanan ayam di peringkat global dan kekurangan tenaga kerja akibat sekatan kemasukan pekerja asing bagi sektor ini," katanya satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Alexander berkata, kementerian juga dimaklumkan, pelaksanaan SHMKM membebankan penternak yang terpaksa menyerap kos operasi yang lebih tinggi.

"Sekiranya skim ini diteruskan, pihak kementerian dimaklumkan akan menjejaskan hasil pengeluaran ayam dan telur dan keadaan ini akan mengganggu bekalan ayam dan telur di pasaran.

"Sekiranya keadaan ini berlaku, ini tentunya akan memberi kesan yang lebih buruk kepada pengguna akibat kekurangan bekalan ayam dan telur di pasaran sekali gus menyebabkan harga jualan juga akan meningkat.

"Inilah realitinya yang akan terjadi sekiranya tiada intervensi daripada kerajaan, tanpa intervensi kerajaan, harga ayam dan telur akan terus melonjak naik lebih tinggi," katanya.

Menurutnya, kerajaan termasuk KPDNHEP sudah mengambil langkah proaktif untuk mengimbangi kenaikan harga ayam dan telur di pasaran.

"Antaranya, pelaksanaan SHMKM yang dijadualkan berakhir pada 31 Disember lalu dan dilanjutkan selama 35 hari lagi berkuat kuasa 1 Januari hingga 4 Februari 2022.

"Selain itu, harga siling ayam sehingga 4 Februari adalah ditetapkan pada harga RM6.10 sekilogram di peringkat ladang, RM7.80/kilogram di peringkat borong dan RM9.10/kilogram di peringkat peruncit.

"MAFI juga akan mengimport ayam bulat sejuk beku sehingga 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor sebulan.

"Dengan penambahan bekalan di pasaran, situasi ini dapat menampung sebarang kekurangan bekalan ayam dan mewujudkan persaingan sihat yang seterusnya dapat mengawal dan mengimbangi harga ayam di pasaran," katanya.

Menurutnya, selain itu, pemberian kemudahan pinjaman mudah atau 'soft loan' kepada industri penternakan ayam negara bagi mengatasi masalah lonjakan harga ayam di pasaran.

"Kerajaan sudah mengumumkan peruntukan bantuan sebanyak RM262 juta untuk membantu peladang yang terjejas akibat kenaikan harga baja dan racun.

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM200 juta disediakan sebagai pinjaman agromakanan pada kadar sifar faedah dengan moratorium bayaran balik selama enam bulan melalui Agrobank da Tabung Ekonomi Kumpulan Urus Niaga (Tekun Nasional) untuk manfaat pengeluar agromakanan bagi menangani kos pengeluaran yang tinggi di peringkat ladang.

"Dengan adanya pemberian pinjaman mudah ini, ia dapat membantu penternak dan peladang menyerap kos operasi dan pengeluaran yang tinggi ketika ini sekali gus boleh mengawal kenaikan harga ayam.

"Isu kenaikan harga ayam ini membabitkan kos operasi yang dipengaruhi oleh pasaran dunia sememangnya amat mencabar dan memerlukan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi.

"Bagaimanapun, KPDNHEP akan terus memantau kenaikan harga dari semasa ke semasa dan memberi jaminan akan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjaga kebajikan kedua-dua pihak iaitu pengguna dan peniaga," katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro mendapati, rata-rata peniaga runcit mengakui mereka tidak mengetahui mengenai kenaikan harga telur dan ayam selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

Kebanyakan mereka mengetahui isu itu menerusi media sosial dan berita di media massa.

Seorang peniaga runcit di Ampang yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 50, berkata, setakat ini mereka masih mendapat bekalan ayam dan telur dalam harga sama.

"Saya tidak tahu mengenai kenaikan harga ini, belum dimaklumkan apa-apa oleh pembekal.

"Jika pembekal sudah naikkan harga, apa pilihan yang penjual seperti kami ada selain terpaksa menaikkan juga supaya tidak rugi," katanya hari ini.

Bagi pemilik kedai runcit di Cheras ini, Abdul Hakim, 40-an berkata, dia juga tidak mengetahui mengenai kenaikan harga ayam dan telur dan belum dimaklumkan oleh pembekal.

"Kami belum dimaklumkan oleh pembekal dan hanya mengetahui isu ini menerusi berita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 2:44 PM