Ayam segar dijual pada harga RM8.99 sekilogram di pasar raya di Bandar Tasik Puteri. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL
Ayam segar dijual pada harga RM8.99 sekilogram di pasar raya di Bandar Tasik Puteri. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kebanyakan pengguna berpuas hati dengan harga ayam standard yang dijual mengikut Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

Tinjauan di beberapa pasar basah di sekitar daerah Rawang, Klang dan Pasar Borong Kuala Lumpur mendapati kebanyakan peniaga mematuhi harga maksimum ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta dijual antara harga RM8.20 sehingga RM9.30 sekilogram.

Pengguna, Mohd Izuwan Shuaimi, 34, berkata, dia lega apabila harga ayam kini lebih rendah berbanding minggu lalu.

"Jika dibandingkan harga ayam sebelum ini memang berlaku peningkatan, ada yang jual sehingga RM10 sekilogram.

"Alhamdulillah, minggu ini kebanyakan peniaga di pasar menjual mengikut skim harga yang ditetapkan kerajaan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, peniaga, Syameel Moktar, 26, berkata, inisiatif kerajaan terutama KPDNHEP memperkenalkan SHMKM amat melegakan pengguna.

"Berbanding beberapa minggu lalu memang terdapat peningkatan terutama harga ayam standard.

"Kini kerajaan menetapkan harga ayam standard runcit RM9.30 sekilogram, tetapi ada juga peniaga yang menjual harga rendah daripada itu," katanya.

SHMKM yang berkuatkuasa sehingga 31 Disember ini bertujuan mengawal dan menstabilkan harga barangan keperluan yang disenaraikan KPDNHEP.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 1:43 PM