Ismail Sabri Yaakob (2, kanan)  mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Mengenai Pengeluaran Makanan di Putrajaya. FOTO Ihsan PMO
Ismail Sabri Yaakob (2, kanan) mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Mengenai Pengeluaran Makanan di Putrajaya. FOTO Ihsan PMO
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Harga maksimum runcit bagi ayam standard dikurangkan 20 sen daripada harga siling yang ditetapkan iaitu RM9.10 sekarang kepada RM8.90.

Manakala harga telur ayam semua gred kekal seperti harga kawalan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) semasa.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan kedua-dua harga itu bermula 5 Februari sehingga 5 Jun 2022.

"Kerajaan akan memberikan subsidi bagi memastikan harga barangan dapat dikawal seperti SHMKM.

"Perincian subsidi ini akan dilakukan oleh Pasukan Khas Mengenai Kos Sara Hidup Negara yang akan diketuai oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi).

"Turut menganggotai pasukan khas ini beberapa kementerian, wakil syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan persatuan pengguna sehingga harga kembali stabil," katanya dalam kenyataan media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mengenai industri pengeluaran makanan.

Mesyuarat NACCOL itu membincangkan isu bekalan dan pengeluaran makanan terutamanya bagi ayam dan telur ayam.

Ismail Sabri berkata, tindakan proaktif perlu dilaksanakan kerajaan untuk memastikan harga kekal berpatutan, namun dalam masa sama industri penternakan ayam tidak terjejas dan sekali gus dapat memastikan bekalan kekal stabil.

"Sebanyak empat kertas sudah dibentangkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Mafi dan Kementerian Pengangkutan dalam mesyuarat.

"Mesyuarat khas turut dihadiri Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)," katanya.

Antara keputusan lain dalam mesyuarat NACCOL itu, katanya, permit import ayam bulat dibuka kepada semua pemegang Permit Kelulusan (AP) bagi mengimport ayam, berbanding sebelum ini mereka hanya dibenarkan mengimport keratan ayam seperti kepak, paha dan lain-lain.

Beliau berkata, mesyuarat juga bersetuju AP mengimport ayam dibuka kepada pengusaha pasar raya besar (hypermarket).

"Mesyuarat mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) membuat siasatan jika wujud kartel dalam pakatan menentukan harga ayam dan telur.

"Selain itu, pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang membabitkan 222 Parlimen perlu dilaksanakan secara maksimum dengan kerjasama bersepadu kementerian-kementerian terbabit bagi membantu Keluarga Malaysia mendapatkan barangan asas pada harga lebih murah," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan Kedai Harga Patut perlu diaktifkan semula di seluruh negara serta menambah kekerapan operasi pasar tani di satu-satu kawasan.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat turut meminta Kementerian Kewangan mengkaji insentif cukai untuk transformasi ladang ternakan ayam.

"Permohonan pengambilan pekerja asing daripada Bangladesh sudah dibuka secara berperingkat mulai 28 Januari 2022.

"Koperasi yang terbabit dalam industri pertanian akan turut dilibatkan untuk menawarkan barangan asas tanpa membabitkan orang tengah untuk mengawal harga.

"Mesyuarat pada hari ini fokus kepada penyelesaian jangka pendek untuk mengurangkan tekanan kenaikan harga," katanya.

Katanya, tindakan jangka panjang turut dibincangkan antaranya menyokong penyelidikan yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) untuk menjadikan isi rong kelapa sawit bagi menggantikan jagung dan soya sebagai makanan ayam.

Selain itu, katanya, mesyuarat mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk memanjangkan tempoh penggunaan tanah di bawah lesen pendudukan sementara (TOL) bagi aktiviti pertanian.

"Apa pun, jaminan bekalan makanan bukan hanya mencukupi tetapi kemampuan Keluarga Malaysia untuk membeli.

"Pelan tindakan jangka panjang ini akan dibincangkan dengan lebih terperinci dalam mesyuarat NACCOL akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 6:09 PM