SEBUAH treler terbabit terbabas dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 302.4 di Lebuhraya Utara Selatan Arah Utara dari Tapah ke Gopeng di sini pagi tadi. FOTO ihsan IPD KAMPAR
SEBUAH treler terbabit terbabas dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 302.4 di Lebuhraya Utara Selatan Arah Utara dari Tapah ke Gopeng di sini pagi tadi. FOTO ihsan IPD KAMPAR
Balqis Jazimah Zahari


Kampar: Kesesakan sejauh lebih 40 kilometer (km) berlaku susulan kemalangan membabitkan treler dan lori di Kilometer 302.4 di Lebuhraya Utara Selatan (LRUS) arah Utara dari Tapah ke Gopeng di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, anggota peronda yang menjalankan tugas rondaan menerima panggilan pada 8.54 pagi memaklumkan kejadian itu.

"Sebaik tiba di lokasi didapati kemalangan membabitkan treler dan lori.

"Kemalangan berpunca daripada treler terbabas di lorong kanan dan dalam masa yang sama lori bergesel dengan treler terbabit," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Nazri berkata, hanya lorong kanan ditutup manakala lorong kiri dan lorong kecemasan dibuka untuk laluan.

"Laluan dari lokasi kemalangan menjadi sesak sejauh kira-kira 40 km dan banyak kenderaan awam masuk Tapah dan lalu jalan lama.

"Treler terbabit sangkut di pembahagi jalan tengah, dijangka satu hingga dua jam lagi akan dialihkan," katanya yang turut memaklumkan pemandu treler yang cedera ringan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk menerima rawatan.

Katanya, beberapa jentera yang akan digunakan untuk mengalihkan treler sudah sampai di lokasi dan treler kini dalam proses pengalihan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 3:52 PM