FOTO hiasan
FOTO hiasan
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Lelaki maut selepas motosikal ditunggang merempuh treler yang berhenti di lorong kecemasan dalam kemalangan di Kilometer 106.4 Lebuhraya Utara Selatan (LRUS) menghala Selatan, malam tadi.

Dalam kejadian pada 10.30 malam itu mangsa Muhamad Hidayat Mohd Zukri, 26, yang beralamat di Kampung Baharu Tasek Gelugor, Pulau Pinang meninggal dunia di tempat kejadian dengan mayatnya masih melekat di atas motosikal.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan mendapati treler terbabit dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun dan dia mendakwa terpaksa memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan brek.

"Penunggang motosikal yang juga pekerja kilang tidak sempat mengelak ketika tiba di lokasi kejadian dan merempuh bahagian kanan belakang treler terbabit.

"Rempuhan itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala," katanya ketika dihubungi.

Zaidy berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati lokasi kemalangan adalah jalan lurus dengan satu lorong kecemasan serta dua lorong untuk kenderaan dan terdapat pembahagi jalan di tengah.

"Mayat dihantar ke hospital untuk bedah siasat dan polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 9:41 PM