Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Taiping: Tindakan seorang lelaki memproses dan menjual cecair ketum dalam skala besar di rumah milik isterinya di Kampung Permatang Raja, Padang Gajah, di sini, mengundang padah apabila diserbu dan ditangkap sepasukan anggota polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, dalam serbuan yang dibuat anggotanya pada jam 11.15 malam, suspek 51 tahun dikatakan sedang mempersiapkan cecair itu untuk dijual kepada pelanggan.

Menurutnya hasil pemeriksaan di bahagian dapur menemui dua tong berwarna oren dan biru serta dua bakul plastik berwarna hitam dan hijau.

"Pemeriksaan lanjut menemui 193 botol plastik, 33 peket plastik, 20 tong plastik yang berisi cecair dipercayai ketum.

"Jumlah keseluruhan air ketum yang dirampas adalah sebanyak 733.7 liter bernilai RM 7,337.

"Suspek sudah berkahwin, mempunyai empat anak dan terlibat dengan penjualan air ketum ini sejak empat tahun lalu.

"Berdasarkan semakan, suspek juga mempunyai empat rekod lampau dan suspek direman selama tiga hari sehingga Sabtu," katanya pada sidang media, semalam.

Menurutnya, hasil siasatan awal juga mendapati, suspek menjual cecair ketum itu pada harga RM 10 seliter dan turut mendapatkan bekalan daun ketum dari luar daerah Taiping.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3), Akta Racun 1952," katanya.

Tambahnya bagi kes tangkapan dadah bagi tahun 2021, 1,254 suspek ditangkap dengan jumlah sitaan barangan yang dirampas bernilai RM 657,632.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 8:43 AM
OSMAN (tengah) bersama pegawainya menunjukkan cecair dipercayai ketum yang dirampas. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
OSMAN (tengah) bersama pegawainya menunjukkan cecair dipercayai ketum yang dirampas. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi