Peralatan memasak dan bungkusan air ketum yang dirampas polis dalam serbuan disebuah rumah di FELDA Lui Selatan Dua. Foto Ihsan Polis.
Peralatan memasak dan bungkusan air ketum yang dirampas polis dalam serbuan disebuah rumah di FELDA Lui Selatan Dua. Foto Ihsan Polis.
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Biarpun pernah dipenjara kerana menjual air ketum namun seorang buruh berusia 31 tahun tetap mengulangi jenayah sama

apabila masih bergiat aktif sebagai `chef' rebusan air khayal itu.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, suspek bagaimanapun diberkas sekali lagi selepas kediamannya di Felda Lui Selatan Dua di sini, diserbu polis jam 2.30 petang semalam.

Menurutnya, serbuan dilakukan selepas polis menerima maklumat berhubung kegiatan itu dilakukan di stor rumah suspek.

"Ketika serbuan dilakukan, suspek sedang leka membungkus air ketum. Suspek memaklumkan daun ketum itu diperolehi dari pokok di tanam di belakang rumahnya.

"Suspek juga turut mencampurkan air ketum dengan ubat batuk yang dibeli dari sebuah farmasi di Kuala Pilah, " katanya.

Chang Hook berkata, polis merampas 12 bungkus air ketum bernilai RM720 dan 44 botol ubat batuk seberat 90 mililiter.

Turut dirampas adalah tong plastik, beg galas, tong gas, dapur memasak, alat penapis dan pelbagai barangan lain digunakan untuk merebus air ketum.

"Suspek kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 3:25 PM