AIR ketum yang dirampas. FOTO IHSAN PEMBACA
AIR ketum yang dirampas. FOTO IHSAN PEMBACA
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Dua lelaki ditahan selepas disyaki memiliki 100 bungkus cecair ketum disyaki mitragynine di kawasan Ladang Hong Seng, di sini, malam semalam.

Difahamkan, seorang daripada suspek dipercayai 'tokan' ketum turut menangis dan merayu untuk dilepaskan ketika ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan dilakukan pada 8.54 malam oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Pulau Tikus selepas menerima maklumat.

Katanya, ketika di lokasi, dua suspek dilihat mengangkat tong berwarna oren berhampiran tapak pembuangan sampah di ladang itu.

"Ketika diperiksa, terdapat sebanyak 100 bungkus plastik lutsinar yang mengandungi cecair berwarna hijau disyaki mitragynine dan diikat menggunakan getah.

"Cecair sebanyak 25 liter itu dianggarkan bernilai RM250," katanya.

Soffian berkata, kedua-dua suspek berusia 19 dan 21 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah.

Katanya, saringan ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek juga didapati negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 5:58 PM