GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad


Kulai: Seorang lelaki yang pernah ditahan polis Jun lalu kerana memproses dan mengedar ketum seolah tidak pernah serik apabila ditahan sekali lagi atas kesalahan sama semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, suspek berusia 46 tahun bersama rakannya berusia 32 tahun ditahan dalam serbuan dan pemeriksaan sebuah rumah di Jalan Jaya Sepakat 1, Taman Sepakat, Senai, kira-kira jam 4 petang.

Katanya, polis merampas 47 bungkusan plastik mengandungi daun ketum seberat 490.4 kilogram serta dua tong mengandungi 30 botol berisi cecair berwarna hijau disyaki air ketum serjumlah 90 liter.

"Keseluruhan rampasan ketum dianggarkan bernilai RM16,000. Kedua suspek mengaku terbabit dalam memproses dan mengedar ketum di daerah ini dan Johor Bahru.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua suspek negatif dadah. Suspek berumur 46 tahun pernah ditangkap pihak polis atas kesalahan sama pada Jun lalu dan mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Beng Yeow, kedua-dua suspek direman empat hari bermula hari ini hingga 6 September depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada empat tahun atau keduanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 5:09 PM