GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Asrol Awang


Kuantan: Kerajaan Pahang bersetuju program Pahang Pride Kasih dengan peruntukan RM20 juta diteruskan tahun ini seperti yang diluluskan dalam Belanjawan 2023.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia diputuskan kerajaan negeri menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang bermesyuarat semalam.

Katanya, keputusan itu adalah inisiatif kerajaan negeri untuk memastikan golongan yang layak di negeri ini mendapat rawatan kesihatan yang sewajarnya.

"Malah, tahun ini, golongan penerima turut diperluaskan merangkumi golongan warga emas, pesara Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Seranta, bekas ketua kampung, ketua kampung dan golongan orang kurang upaya (OKU) yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Setiap penerima akan diberi kad kesihatan bernilai RM500 serta boleh digunakan untuk mendapatkan rawatan kesihatan di klinik swasta yang dilantik sebagai panel sepanjang tahun ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagi menjayakan inisiatif berkenaan, beliau berkata, peruntukan RM20 juta untuk program itu akan memberi manfaat kepada 30,600 penerima.

"Saya berharap semua penerima dapat menggunakan kad kesihatan yang akan diberikan ini dengan sebaik mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 3:46 PM