FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Penduduk di perkampungan Orang Asli Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan disarankan supaya tidak keluar rumah sehingga baki tiga ekor harimau ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Jurucakap Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) berkata, satu perbincangan antara agensi itu dan Perhilitan yang berlangsung semalam memutuskan penduduk tidak digalakkan keluar rumah termasuk keluar mencari makanan manakala sekolah juga turut ditutup.

"Perhilitan sudah memasang perangkap di beberapa lokasi tetapi ia tidak begitu berkesan. Jadi kita tidak galakkan penduduk untuk keluar rumah, dibimbangi terserempak dengan haiwan itu," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, perbincangan itu juga ada menjurus mengenai perpindahan penduduk ke lokasi selamat tetapi belum ada kata putus daripada pihak berkaitan berikutan ia membabitkan adat dan budaya Orang Asli.

"Jakoa juga akan mengagihkan bakul makanan kepada penduduk dan bekalan ini tahan untuk tempoh dua minggu, jadi kita berharap penduduk tidak keluar rumah sehingga harimau itu ditangkap.

Sebelum ini, Perhilitan Kelantan mengesan tiga harimau belang yang berkeliaran di perkampungan Orang Asli di Gua Musang.

Malah agensi itu turut menafikan dakwaan terdapat 11 harimau belang di perkampungan Orang Asli dan pasukannya akan terus membuat pemantauan dan memasang perangkap yang dilengkapi kamera di Kampung Tendrik dan Kampung Hak di Pos Bihai.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki Orang Asli maut dibaham harimau di Kampung Sau dekat Pos Bihai, Jumaat lalu.

Anek Along dikatakan sedang menumbuk padi huma bersama anak perempuannya di belakang rumah ketika haiwan itu muncul kira-kira jam 9.10 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 2:15 PM