ANGGOTA Perhilitan memasang perangkap.
ANGGOTA Perhilitan memasang perangkap.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Majoriti daripada populasi Harimau Malaya berada di kawasan hutan simpan di Semenanjung Malaysia terutama di kompleks Taman Negara-Banjaran Titiwangsa.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia dalam kenyataannya tadi memaklumkan, fakta itu hasil daripada penyelidikan 1st National Tiger Survey

(NTS1) dilakukan sebelum ini.

Penjelasan itu bagi menjawab laporan sebuah media tempatan semalam, mendakwa terdapat 11 ekor harimau belang berkeliaran di Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan dan mengancam nyawa penduduk.

Menurutnya, Jabatan Perhilitan masih menjalankan operasi pemantauan dan kawalan di kawasan perkampungan Orang Asli Pos Bihai berikutan aduan dari penduduk berkenaan harimau belang yang berkeliaran di kawasan berkenaan sejak 10 Disember tahun lalu.

"Setakat ini Perhilitan sudah memasang tiga perangkap harimau belang (Perangkap Wahab) iaitu dua di

Kampung Tendrik dan satu di Kampung Hak, Pos Bihai.

"Pihak Jabatan Perhilitan juga sentiasa memantau dan memberi taklimat kepada penduduk kampung dari masa ke semasa berkenaan perjalanan operasi mengesan dan menangkap harimau belang serta langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil ketika berada di luar kawasan rumah," katanya.

Menurutnya, orang ramai adalah disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan

kepada Jabatan Perhilitan Negeri Kelantan melalui talian 011- 59275985 atau talian hotline PERHILITAN 1-800-88-5151 atau eaduan di laman web www.wildlife.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 2:39 PM