Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Paya Linda Yahya


Kuala Lumpur: Kebimbangan penduduk susulan kemunculan harimau belang berkeliaran di

sekitar Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan, berakhir apabila seekor harimau belang jantan berjaya diperangkap hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, anggotanya sebelum ini bertindak memasang perangkap bermula semalam susulan aduan diterima.

Menurutnya, operasi menangkap harimau belang di kawasan Nenggiri dan Pos Bihai, Gua Musang, diaktifkan melalui pemasangan dua perangkap khas.

Beliau berkata, pemeriksaan perangkap dilakukan pada jam 9 pagi tadi mendapati salah satu perangkap berjaya memerangkap seekor harimau belang dewasa.

"Seramai 10 pegawai dan kakitangan Perhilitan terbabit dalam operasi itu. Harimau yang berjaya ditangkap di Pos Bihai itu akan dibawa ke Pusat Penyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai, Perak untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian 7 Januari 2022, seorang lelaki Orang Asli berusia 59 tahun maut diserang harimau belang jantan, di belakang rumahnya di Pos Bihai ketika membuang air kecil.

Mangsa diseret haiwan itu sebelum mayatnya ditemui petugas Perhilitan. Harimau seberat lebih 100 kilogram itu ditembak mati anggota Perhilitan selepas cuba menyerang anggota terbabit.

Manakala pada 6 Julai 2023, seorang lelaki, Adin Andok, 45, parah di kepala, perut, mata kiri, bahu dan lengan kiri akibat diserang harimau di kebunnya di Kampung Badak, Pos Bihai.

Mangsa bagaimanapun sempat diselamatkan anaknya yang menyedari kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 3:55 PM
HARIMAU belang jantan yang berjaya diperangkap Perhilitan di Pos Bihai pagi tadi.
HARIMAU belang jantan yang berjaya diperangkap Perhilitan di Pos Bihai pagi tadi.