Hanna Yeoh.
Hanna Yeoh.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menafikan dakwaan Ahli Parlimen Segambut, Hanna Yeoh yang menyatakan terdapat tarikh tutup permohonan Bantuan Wang Ihsan (BWI) bagi mangsa bencana banjir.

Nadma dalam kenyataan hari ini, berkata, kenyataan Hanna Yeoh tidak benar dan Nadma menafikan sekeras-kerasnya kenyataan itu kerana tidak ada tarikh tutup bagi BWI memandangkan kejadian bencana adalah sesuatu tidak dapat diramal.

Menurutnya, merujuk kepada kenyataan Hannah Yeoh yang mendakwa FAQ (soalan lazim) Nadma berkaitan BWI adalah bercanggah dengan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pihak agensi ingin memaklumkan bahawa FAQ yang dirujuk adalah garis panduan lama.

"Ia tidak lagi terpakai lanjutan pengumuman Perdana Menteri dan arahan ini turut dilanjutkan kepada semua Kerajaan Negeri.

"Pada 21 Disember lalu, Perdana Menteri memutuskan semua Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan akibat banjir wajar menerima BWI setiap kali ditimpa bencana.

"Keputusan ini dibuat Perdana Menteri semasa mempengerusikan Mesyuarat Khas Pengurusan Bencana Bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri," katanya.

Menurutnya, sebelum ini kelayakan BWI hanya diberikan sekali dalam musim tempoh bencana diisytiharkan, namun atas keprihatinan Perdana Menteri kini semua KIR yang terkesan akibat bencana banjir boleh menuntut BWI setiap kali bencana menimpa, tertakluk kepada pengesahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan diluluskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Katanya, sebagai makluman, sehingga hari ini sejumlah RM26.9 juta peruntukan fasa pertama disalurkan ke 11 negeri untuk pembayaran bantuan wang ihsan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 8:20 PM