NORAZMAN Othman bersama sukarelawan membersihkan di sebuah PPS di SJKC Kampung Tengah, Segamat. FOTO Ahmad Ismail
NORAZMAN Othman bersama sukarelawan membersihkan di sebuah PPS di SJKC Kampung Tengah, Segamat. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail

Segamat: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan menggunakan sebahagian daripada peruntukan penerokaan kawasan pelancongan baharu berjumlah RM20 juta untuk membantu inap desa dan kawasan pelancongan yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC, Norazman Othman berkata peruntukkan itu akan disalurkan selepas pengusaha inap desa yang terjejas dikenal pasti.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya mengenal pasti beberapa kawasan seperti Taman Rekreasi Paya Bakau Sijangkang, Pantai Morib, Pantai Batu Laut dan Dengkil di Selangor serta sebuah inap desa di Janda Baik, Pahang.

"Peruntukkan itu untuk menaik taraf dan meneroka kawasan baharu pelancongan tetapi dalam keadaan banjir ketika ini, kita memberi keutamaan kepada tempat pelancongan dan inap desa yang terjejas.

"Di Johor beberapa kawasan inap desa di Segamat dan Kota Tinggi yang turut terjejas akibat banjir turut dibantu sebaik dikenal pasti," katanya ketika ditemui selepas menyertai misi bantuan pasca banjir Motac di Kampung Spang Loi di sini, hari ini.

Turut hadir Pegawai Daerah Segamat, Ashrin Kamal Hashim.

Norazman berkata, seramai 13,000 sukarelawan yang berdaftar di bawah Motac sedang diatur gerak dalam membantu proses pasca banjir ini termasuk kerja-kerja pemulihan dokumen kerana terdapat premis-premis kerajaan yang dinaiki air termasuk sekolah.

Sementara itu, Ashrin Kamal berkata keadaan air di daerah itu dijangka mula surut dalam tempoh dua atau tiga hari akan datang susulan keadaan cuaca yang panas sejak empat hari lepas.

"Dengan keadaan cuaca cerah ini, kita harapkan air akan surut. Setakat hari ini, 32 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sudah ditutup manakala 36 PPS masih lagi dibuka membabitkan 2,479 orang mangsa banjir," katanya.

Jelasnya, ketika ini kawasan yang paling terjejas adalah di Kampung Spang Loi akibat ban pecah hingga menyebabkan rumah penduduk ditenggelami air.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 5:19 PM