KOMPLEKS Bersepadu Pengerang.
KOMPLEKS Bersepadu Pengerang.
BERNAMA

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertemu dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) minggu ini untuk membincangkan mengenai projek syarikat minyak negara dengan Saudi Aramco di Kompleks Bersepadu Pengerang, Johor.

Beliau berkata komitmen Saudi Aramco untuk memperluaskan fasilitinya di Pengerang akan mengembang tetapi masih terdapat satu lagi aspek yang perlu dibincangkan dengan Petronas.

"Saya akan bincangkan dengan Petronas dalam masa satu-dua hari ini kerana ada tiga perkara pokok, dua sudah selesai..satu ada masalah sedikit yang harus kita putuskan di peringkat kerajaan," katanya ketika berucap pada perhimpunan bersama warga Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Pada Oktober tahun lalu, Anwar dilaporkan berkata bahawa Saudi Aramco komited untuk memperluaskan fasilitinya di Kompleks Bersepadu Pengerang, Johor dengan menambah aktiviti hiliran petrokimia dan gas supaya ia menjadi hab terbesar di Asia Tenggara.

Saudi Aramco ialah salah satu daripada syarikat tenaga dan kimia bersepadu terbesar di dunia.

Presiden (Hiliran) Aramco, Mohammed Y. Al Qahtani, berkata syarikat itu teruja dengan projek Pengerang dan bersedia untuk bukan hanya mengekalkan operasi, malah potensi mengembangkannya pada masa hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2024 @ 10:23 AM