Mohamed Farid Noh

Segamat: Mangsa banjir di negeri ini terus melonjak kepada 2,022 orang daripada 512 keluarga yang ditempatkan di 37 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 4 petang tadi.

Ia berbanding hanya 1,827 mangsa daripada 466 keluarga yang ditempatkan di 31 PPS, setakat jam 12 tengah hari tadi.

Kota Tinggi menjadi daerah ketiga dan terbaru terjejas banjir dengan 32 mangsa daripada 11 keluarga yang ditempatkan di dua PPS iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Ramunia, Pengerang dan SK Mawai.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata Segamat menjadi daerah paling terjejas banjir di negeri ini dengan mangsa banjir melonjak kepada 1,950 daripada 491 keluarga yang ditempatkan di 34 PPS, petang ini.

Ia berbanding hanya 1,771 mangsa daripada 452 keluarga yang ditempatkan di 30 PPS, setakat tengah hari nanti.

Vidyananthan berkata, Tangkak yang menjadi daerah kedua terjejas banjir di Johor bagaimanapun kekal denga40 mangsa daripada 10 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Agama Bandar Tangkak, petang ini.

"Sebanyak 34 PPS dibuka di Segamat, sebuah di Tangkak dan dua di Kota Tinggi, berikutan trend air banjir yang mula menaik dan cuaca dijangka hujan berterusan.

"Antara kawasan yang terjejas banjir di Segamat termasuklah Kampung Sermin, Kampung Lembah Bakti, Pekan Air Panas, Paya Lenga, Paya Lebar, Gelang Chinchin, Tenang dan Sedeng.

PENDUDUK menaiki bot untuk pindah dari kediaman yang dinaiki air di Kampung Spang Loi Segamat, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
PENDUDUK menaiki bot untuk pindah dari kediaman yang dinaiki air di Kampung Spang Loi Segamat, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan

"Turut terjejas banjir adalah kawasan Paya Lang, Kampung Baru Gemas Bahru, Taman Gembira, Taman Wira serta Taman Bintang selain Kampung Awat.

"Kawasan Kampung Jabi, Kampung Tengah,Tungku Tiga, Sekijang, Seberang Batu Badak, Kampung Jawa/Logah, Kampung Sri Makmur, Bukit Tunggal, Mensudut Lama, FELDA Medoi, Gubah, Balai Badang, Pogoh Tengah, Lubuk Lanjut, Bukit Limau Manis, Padang Kiambang dan Merigi turut terjejas banjir di Segamat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata, kawasan di Tangkak yang terjejas banjir adalah Kampung Sri Makmur manakala Kota Tinggi membabitkan Kampung Bukit Raja Darat, Pengerang dan Kampung Baru Mawai.

Sementara itu, beliau berkata hampir semua daerah di Johor diramalkan hujan berterusan petang ini.

"Antara kawasan yang diramal hujan oleh Met Malaysia adalah Segamat, Muar, Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang, Kota Tinggi, Mersing,Kulai dan Tangkak manakala cuaca mendung di Pontian.

"Penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir dinasihatkan sentiasa berwaspada dan peka terhadap perubahan cuaca di kawasan masing-masing.

"Bermula hari ini hingga Rabu depan fenomena air pasang besar juga berlaku dan penduduk di kawasan berhampiran laut dan pesisiran pantai di negeri ini perlu lebih berhati-hati terhadap sebarang kemungkinan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 4:50 PM