BEBERAPA kenderaan yang dilihat memotong barisan di Lebuhraya Seremban- Bukit Nenas, menghala ke Sendayan, berhampiran Plaza Tol Seremban. FOTO Ihsan PDRM
BEBERAPA kenderaan yang dilihat memotong barisan di Lebuhraya Seremban- Bukit Nenas, menghala ke Sendayan, berhampiran Plaza Tol Seremban. FOTO Ihsan PDRM
Ahmad Hasbi

Seremban: Sikap tidak sabar segelintir pemandu yang gemar memotong barisan dan menggunakan lorong kecemasan di Lebuhraya Seremban-Bukit Nenas berhampiran Plaza Tol Seremban di sini, mengundang padah apabila disaman polis trafik.

Melalui operasi Op Potong Q dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan bermula jam 7.30 pagi tadi, 40 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya.

Ketua JSPT Negeri Sembilan, Superintendan Shafiei Muhammad berkata, operasi dijalankan dua pegawai bersama 12 anggota daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Seremban selama sejam.

"Operasi dijalankan di lokasi yang dikesan sering berlaku kesalahan menggunakan lorong kecemasan dan memotong barisan ketika trafik sesak pada waktu puncak orang awam keluar ke tempat kerja.

"Dalam operasi ini, kami mengeluarkan 40 saman membabitkan pelbagai kesalahan hasil pemeriksaan terhadap kenderaan yang didapati menyalahgunakan lorong kecemasan dan memotong barisan," katanya.

Katanya, 23 saman dikeluarkan kerana kesalahan memotong barisan, lima saman kerana tiada lesen memandu, enam saman membabitkan kesalahan aksesori, tiga saman bagi kesalahan cukai jalan dan tiga saman kerana gagal menunjukkan lesen memandu.

Katanya, sikap sebilangan kecil pemandu yang mementingkan diri dengan memotong barisan adalah kesalahan lalu lintas yang boleh menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 4:53 PM