ANTARA kenderaan yang dikenakan tindakan kerana melanggar peraturan jalan raya. FOTO ihsan polis
ANTARA kenderaan yang dikenakan tindakan kerana melanggar peraturan jalan raya. FOTO ihsan polis
Ahmad Hasbi


Nilai: Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan Trafik Daerah (BSPTD) Nilai mengeluarkan 61 saman pada Op Lampu Isyarat dan Potong Q di persimpangan Jalan Nilai-Salak, dekat Jalan BBN 6/1 dan persimpangan Jalan Persiaran Pusat Bandar, dekat Plaza Tol Nilai, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Shafiei Muhammad berkata, dalam operasi selama tiga jam bermula 3.30 petang itu, sebanyak 15 saman turut dikeluarkan bagi kesalahan langgar lampu isyarat merah.

"Kami mengadakan operasi yang menumpukan kesalahan langgar lampu isyarat dan memotong barisan menggunakan lorong kecemasan di dua lokasi serentak di daerah ini yang mana kedua-dua kawasan ini dikesan sering berlaku kesalahan terbabit.

"Dalam operasi ini, kami menahan pelbagai kenderaan yang menyalahgunakan lorong kecemasan dan melanggar lampu isyarat.

"Sebanyak 61 saman dikeluarkan dengan 45 daripadanya adalah kesalahan memotong barisan dan bakinya kerana langgar lampu isyarat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kesalahan langgar lampu isyarat boleh dikenakan kompaun sebanyak RM300 manakala kesalahan memotong barisan dengan menggunakan lorong kecemasan boleh dikompaun sebanyak RM150 dan jika tidak menjelaskannya dalam tempoh sebulan, kompaun menjadi RM300.

Shafiei berkata, pihak polis menyeru semua pengguna jalan raya supaya tidak mementingkan diri dan mengamalkan sikap bersabar semasa memandu serta mematuhi peraturan lalu-lintas dalam apa jua keadaan bagi mengelak sebarang kesulitan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 10:26 AM