Mohamed Farid Noh


Segamat: Mangsa banjir di negeri ini naik mendadak kepada 1,080 mangsa daripada 658 keluarga yang ditempatkan di 20 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 4 petang tadi.

Tangkak menjadi daerah kedua terjejas banjir di Johor dengan 17 mangsa daripada tiga keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Agama Bandar Tangkak, sejak jam 2 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan berkata, jumlah mangsa banjir di Segamat terus naik mendadak kepada 1,063 orang daripada 268 keluarga yang ditempatkan di 19 PPS di daerah berkenaan.

Katanya, ia berbanding hanya 658 orang daripada 192 keluarga yang ditempatkan di sembilan PPS, setakat jam 12 tengah hari ini.

PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Zaiton Ismail bersama mangsa banjir selepas menyampaikan kit makanan permulaan bencana daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Johor di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampong Tenang, Segamat. FOTO Nur Aisyah Mazalan
PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Zaiton Ismail bersama mangsa banjir selepas menyampaikan kit makanan permulaan bencana daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Johor di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampong Tenang, Segamat. FOTO Nur Aisyah Mazalan

"Sebanyak 20 PPS dibuka di Segamat membabitkan di Balai raya Kampung Sermin (lapan mangsa), Dewan Serbaguna Pekan Air Panas (45 mangsa daripada 13 keluarga) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Ai Chun (169 mangsa daripada 38 keluarga).

"PPS yang turut dibuka adalah di Balai raya Kampung Paya Lenga (lima mangsa), Balai raya Paya Lebar (15 mangsa daripada tiga keluarga) dan Balai raya Kampung Gelang Chinchin (tujuh mangsa daripada tiga keluarga).

"Mangsa banjir paling ramai ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Kampung Tenang (267 mangsa daripasa 73 keluarga) dan Dewan Serbaguna Jalan Genuang (enam mangsa) dan PPS terbaru adalah PPS Sekolah Kebangsaan Batu Anam (256 mangsa daripada 70 keluarga).

"Lima lagi PPS dibuka di Segamat iaitu SJK (C) Tah Kang (164 mangsa daripada 33 keluarga), Balairaya Kampung Awat (17 mangsa daripada 6 keluarga), Balairaya Taman Bukit Lentang (tujuh mangsa), Balairaya Kampung Jabi 1 (23 mangsa daripada enam keluarga) dan Balairaya Jalan Pemuda (dua mangsa)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 6:02 PM