Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Batu Pahat menjadi daerah ketujuh dan terbaru terjejas banjir apabila seramai 42 mangsa daripada 11 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Balairaya Kampung Haji Kamisan, setakat jam 12 tengah hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, jumlah mangsa banjir di negeri ini juga terus meningkat kepada 4,062 mangsa daripada 1,064 keluarga yang ditempatkan di 64 PPS, setakat jam 12 tengah hari ini.

Ia berbanding 3,841 mangsa daripada 1,008 keluarga di 62 PPS, jam 8 pagi tadi.

Katanya, Segamat terus menjadi daerah paling terjejas banjir di negeri ini dengan 3,284 mangsa daripada 853 keluarga yang ditempatkan di 47 PPS berbanding 3,178 mangsa daripada 828 keluarga yang ditempatkan di 47 PPS, jam 8 pagi tadi.

"Sebanyak 62 PPS kini dibuka di Johor dengan Segamat yang paling banyak iaitu 47, diikuti Mersing (enam), Kota Tinggi, Kluang dan Tangkak masing-masing tiga, Johor Bahru (sebuah) manakala Batu Pahat yang menjadi daerah ketujuh terjejas banjir turut membuka sebuah PPS.

"Mangsa banjir paling ramai adalah di PPS (SK) Kampung Tenang, Segamat (502 mangsa daripada 157 keluarga), SJK (C) Tah Kang di Segamat dengan 319 mangsa daripada 85 keluarga diikuti SK Batu Anam, Segamat (256 mangsa daripada 70 keluarga).

"Mersing adalah daerah kedua paling terjejas apabila mangsa banjirnya bertambah kepada 371 orang daripada 94 keluarga di enam PPS tengah.

"Kota Tinggi pula merekodkan 174 mangsa banjir daripada 51 keluarga, Tangkak (123 mangsa daripada 33 keluarga) dan Kluang (66 mangsa daripada 21 keluarga) yang kesemua daerah berkenaan membuka tiga PPS setakat ini.

"Johor Bahru pula merekodkan dua mangsa banjir daripada satu keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan Raya Sungai Tiram," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Keadaan banjir terkini di Jalan Mawai Lama, Kota Tinggi. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Keadaan banjir terkini di Jalan Mawai Lama, Kota Tinggi. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Sementara itu, Vidyananthan berkata, cuaca hujan berterusan dijangka akan terus melanda hampir semua 10 daerah di negeri ini tengah hari dan petang ini.

Katanya, Jabatan Meteorologi (Met Malaysia) masih mengeluarkan amaran cuaca bahaya kepada seluruh Johor iaitu cuaca hujan lebat berterusan, hari ini.

"Penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir dinasihatkan sentiasa berwaspada dan peka terhadap perubahan cuaca di kawasan masing-masing.

"Bermula semalam hingga Rabu depan fenomena air pasang besar juga berlaku dan penduduk di kawasan berhampiran laut, sungai dan pesisiran pantai di negeri ini perlu lebih berhati-hati terhadap sebarang kemungkinan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 1:01 PM