Kamal Mokhtar
Kamal Mokhtar
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Empat sungai di Johor masing-masing dua di Tangkak, Batu Pahat dan Kota Tinggi, melepasi paras bahaya setakat jam 11.15 pagi tadi.

Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak, merekodkan paras 3.14 meter berbanding paras bahaya 3.0 meter manakala Sungai Kesang di Telok Rimba, Tangkak pula merekodkan paras 2.92 meter berbanding paras bahaya 2.50 meter.

Sungai Simpang Kanan di Parit Belemam, Batu Pahat merekodkan paras 1.64 meter berbanding paras bahaya 1.50 meter manakala Sungai Sedili Kecil di Sedili Kecil, Kota Tinggi pula merekodkan paras 1.75 meter berbanding paras bahaya 1.70 meter.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor, Kolonel Kamal Mokhtar berkata, semua anggota agensi berkenaan di empat daerah terbabit diletak dalam keadaan berjaga-jaga berikutan bacaan paras sungai di kawasan itu yang melepasi paras bahaya pagi tadi.

Bagaimanapun katanya, paras sungai berkenaan dijangka menurun jika tidak berlaku hujan lebat pada petang serta malam ini.

"Seramai 300 anggota APM Johor kini sedang bersiap siaga sekiranya berlaku limpahan air sungai menyebabkan banjir di kawasan rendah di negeri ini.

"Kita akan menggerakkan 500 lagi anggota APM Johor apabila banjir berlaku, bagi memastikan penduduk dapat dipindahkan segera ke kawasan selamat.

"Jika paras sungai terus meningkat dan bertembung dengan hujan lebat, dijangkakan beberapa kawasan rendah dinaiki air.

"Buat masa ini hujan terkawal dan berlaku dalam masa singkat, namun langkah berjaga-jaga tetap diambil termasuk terus memantau sungai utama di negeri ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 2:21 PM