SUNGAI SKUDAI.
SUNGAI SKUDAI.
Oleh Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sungai Skudai di Kampung Laut di sini, melepasi paras bahaya tengah hari ini apabila merekodkan paras 3.27 meter berbanding paras normal satu meter.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataan memaklumkan, peningkatan mendadak paras Sungai Skudai itu sekali gus meningkatkan risiko banjir kilat di kawasan berkenaan sekiranya berlaku hujan lebat.

Sungai Skudai di Kampung Pasir, Tampoi turut merekodkan paras amaran apabila ia melepasi paras 0.78 meter berbanding paras normal 0.30 meter.

"Dua lagi sungai yang melepasi paras amaran di Johor adalah Sungai Batu Pahat membabitkan lembangan Sungai Lenik di Ladang Chaah, yang merekodkan paras 5.55 meter berbanding paras normal 4.10 meter.

"Sungai Kesang membabitkan lembangan Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur turut melepasi paras amaran apabila ia merekodkan paras 3.54 meter berbanding paras normal dua meter," katanya dalam kenyataan berkenaan.

Dalam pada itu, JPBD memaklumkan tujuh lagi sungai di negeri ini turut dikeluarkan status berjaga-jaga, berikutan ia melepasi paras normal, tengah hari tadi.

Sungai Skudai di Kampung Separa kini melepasi paras amaran apabila merekodkan paras 17.01 meter berbanding paras normal 16.00 meter.

"Selain itu Sungai Johor membabitkan lembangan Sungai Siku di Kampung Murni Jaya turut melepasi paras amaran dengan 17.53 meter berbanding paras normal 15 meter.

"Sungai Benut di Empangan Machap, turut melepasi paras amaran apabila merekodkan paras 16.81 meter berbanding 15.85 meter. Sungai Batu Pahat membabitkan lembangan Sungai Sembrong dan Batu 2 Sembrong juga melepas tahap amaran apabila merekodkan paras 3.16 meter dan 10.28 meter.

"Dua lagi sungai diberi status amaran adalah Sungai Muar membabitkan lembangan Sungai Senduk dan Sungai Sarang Buaya di Kampung Parit Tengah yang masing-masing merekodkan paras 0.51 meter dan 2.20 meter," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 1:21 PM