ANGGOTA MCC sedang mengangkat makanan haiwan. FOTO  Ihsan Kelab Kucing Malaysia
ANGGOTA MCC sedang mengangkat makanan haiwan. FOTO Ihsan Kelab Kucing Malaysia
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Kelab Kucing Malaysia (MCC) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) berganding bahu membantu pusat jagaan dan perlindungan haiwan terbiar yang terkesan akibat banjir sejak Sabtu lalu.

Mereka mewujudkan inisiatif kongsi rezeki dinamakan 'We Care' yang mengajak orang ramai menderma wang ringgit atau menyumbang makanan kucing dan anjing.

Presiden MCC Khalid Rashid berkata, sumbangan itu bukan hanya untuk pusat jagaan dan perlindungan di Lembah Klang tetapi buat pusat lain yang terjejas di seluruh negara.

"Setakat semalam, MCC menerima laporan kira-kira 20 pusat jagaan dan perlindungan haiwan di Lembah Klang terkesan akibat banjir dengan kebanyakan haiwan dapat diselamatkan.

"Oleh kerana itu, kita wujudkan inisiatif dan dapatkan bantuan DVS kerana kurang tenaga kerja, tiada kepakaran dan kenderaan sesuai untuk masuk ke kawasan banjir yang berlumpur.

"Peranan MCC adalah mengumpul makanan sumbangan orang ramai di Myza Cat House dekat Bandar Mahkota Cheras, Selangor sementara DVS akan mengagihkan bantuan kepada pemilik pusat terbabit," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Khalid berkata, sejak semalam, ramai yang tampil membantu dan pihaknya berharap inisiatif itu akan terus mendapat sambutan demi kelangsungan pusat jagaan dan perlindungan haiwan terbabit.

Katanya, percayai dengan sokongan semua pihak akan dapat meringankan beban pusat terbabit dan turut mengalu-alukan bantuan ubat-ubatan buat haiwan.

Sementara itu, Ketua Seksyen Kebajikan Haiwan Bahagian Regulator Veterinar Dr Marzuna Md Yunus berkata, pihaknya sudah menghantar bantuan ke pusat pengumpulan di DVS Selangor, Pejabat Veterinar Hulu Langat, Kuala langat, Klang, 'shelter' di UIA dan individu perseorangan di kawasan Taman Sri muda, Sungai Lui dan Banting di Selangor.

"Hari ini, agihan bantuan diteruskan di Bukit Kemuning, Shah Alam. DVS turut akan menyalurkan bantuan kepada negeri lain termasuk Pahang yang terjejas akibat banjir," katanya.

Orang ramai yang berhasrat mendermakan makanan atau ubat-ubatan haiwan boleh menghubungi Khalid di talian 012-2200982 atau salurkan ke akaun Maybank 014123402469 dengan keterangan bantuan untuk 'shelter' sebagai rujukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 8:41 PM