KUCING turut terkesan akibat banjir baru-baru ini.
KUCING turut terkesan akibat banjir baru-baru ini.
Muhamaad Razis Ismail


BENCANA banjir yang berlaku serentak di beberapa negeri baru-baru ini menyebabkan ramai yang terkesan.

Dalam keadaan yang tidak terjangka itu, ramai yang terpaksa meninggalkan kediaman tanpa sempat menyelamatkan harta benda dan haiwan peliharaan.

Perkara ini diakui Presiden Kelab Kucing Malaysia (KKM) Khalid Rashid, apabila menerima banyak panggilan untuk menyelamat kucing yang terperangkap di kediaman.

Katanya, paras air yang naik dengan menyebabkan ramai tidak sempat mengeluarkan kucing peliharaan.

"KKM tidak mempunyai kepakaran dalam misi menyelamat di dalam keadaan air paras yang agak tinggi selain tidak memiliki pengangkutan dan peralatan sesuai.

"Oleh itu, saya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa termasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk menyelamatkan kucing terperangkap," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Jelasnya, dalam membantu pusat jagaan dan perlindungan haiwan yang terkesan akibat banjir pihak KKM bekerjasama dengan JPV melaksanakan program 'We Love, We Care.'

"KKM akan mendapatkan bekalan makanan haiwan hasil daripada sumbangan syarikat makanan haiwan dan orang ramai manakala pihak JPV akan mengagihkan bekalan serta membantu merawat kucing yang sakit.

"Setakat ini sebanyak 20 pusat jagaan dan perlindungan haiwan di seluruh negara sudah dibantu menerusi inisiatif ini," katanya.

Mengulas lanjut, bekalan makanan masih belum mencukupi dan mengharap orang ramai terus menghulurkan sumbangan.

"Selain makanan, kami turut memerlukan bantuan bekalan ubat-ubatan untuk merawat kucing yang sakit," katanya.

PEMILIK perlu memastikan kucing berada dalam keadaan selamat.
PEMILIK perlu memastikan kucing berada dalam keadaan selamat.

Beliau turut berkongsi panduan kepada pemilik kucing untuk menghadapi bencana banjir di masa hadapan.

1. Lepaskan kucing yang berada dalam kurungan ketika apabila air naik atau masa kecemasan haiwan ini dapat menyelamatkan diri dengan memanjat ke tempat yang lebih tinggi.

2. Letakkan kandang atau sangkar kucing di tempat yang tinggi jika keadaan hujan kian berterusan.

3. Selalu mengikuti perkembangan cuaca untuk mengetahui info cuaca terkini supaya kita dapat bersedia lebih awal.

4. Sekiranya keluar bercuti, pesan kepada jiran anda untuk membantu melepaskan kucing jika air naik.

5. Sediakan beg dan sangkar kecil untuk memudahkan proses menyelamatkan kucing apabila banjir.

6. Segala makanan, ubatan dan kad kesihatan vaksinasi kucing dibungkus di dalam plastik dan diletakkan di satu tempat yang senang dilihat serta dicapai.

7. Sentiasa sediakan air bersih untuk minuman kucing. Ia sangat penting kerana kucing mudah terkena penyakit apabila minum air banjir yang tercemar.

8. Kumpulkan kucing di satu tempat supaya ia mudah dipindahkan sekiranya banjir melanda.

9. Sekiranya memiliki kucing yang banyak, simpan maklumat lokasi pewaris, rakan dan 'pet boarding' supaya ia dapat dihantar lebih awal.

Katanya, anggaplah kucing seperti ahli keluarga sendiri dengan lakukan yang terbaik untuk menyelamatkan mereka.

"Jangan berikan alasan anda kelam-kabut sehingga tidak perasan kewujudan mereka sehingga kucing-kucing anda mati dalam sangkar berpunca daripada kecuaian anda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 6:45 AM