Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Keadaan cuaca semakin baik sejak semalam membolehkan sembilan mangsa banjir daripada tiga keluarga di Kemaman pulang ke kediaman masing-masing.

Berikutan itu, pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor ditutup pada 12 tengah hari tadi.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, ia menjadi PPS terakhir ditutup di negeri itu.

Ketika ini, semua jawatankuasa pengurusan bencana daerah masih dalam tahap kesiapsiagaan Monsun Timur Laut 2021/2022.

Selain itu, paras air di semua sungai-sungai utama juga kembali normal kecuali di Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman, Kemaman masih melepasi paras bahaya dengan bacaan 4.13 meter (m) berbanding paras normal 1.4 m

Bagaimanapun, ia menunjukkan trend menurun.

Menerusi banjir gelombang kedua sejak Jumaat lalu menyaksikan tiga daerah terjejas iaitu Setiu, Dungun dan Kemaman.

Daripada jumlah itu, seramai 423 mangsa daripada 122 keluarga dipindahkan ke 10 PPS.

Ia membabitkan enam PPS di Kemaman, tiga di Dungun dan satu di Setiu.

Keadaan di pusat pemindahan sementara di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor di daerah Kemaman. FOTO IHSAN APM
Keadaan di pusat pemindahan sementara di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor di daerah Kemaman. FOTO IHSAN APM

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 1:35 PM