Zaid Salim


Dungun: "Air naik terlalu cepat dan saya bersama suami terpaksa meredah air yang ketika itu sudah hampir satu meter sejauh 500 meter sambil mendukung anak bongsu berusia empat bulan ke pusat pemindahan sementara (PPS)," kata Nur Ashiqin Zulkhanain, 28, selepas kediamannya dinaiki dalam kejadian banjir di Kampung Shukur, di sini, hari ini.

Nur Asyiqin berkata, dia mengakui berasa cemas dan bimbang dengan keselamatan mereka apatah lagi dua lagi anaknya, Tengku Aqiff, 8, dan Tengku Kenzie, lima tahun terpaksa ditinggalkan di rumah bersama adik lelakinya, Hafiz berusia 22 tahun.

Katanya, sebaik tiba di Dewan Serbaguna Kampung Shukur yang dijadikan PPS, suami, Tengku Amir Hamzah Tengku Ishak, 29, meminjam bot penduduk untuk membawa keluar dua anaknya dan adik lelakinya.

"Ketika itu air sudah hampir 1.5 meter dan arus deras menyebabkan suami terpaksa meminta bantuan bot penduduk kampung untuk membawa keluar dua anak dan adik" katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Nur Ashiqin mengakui, walaupun sudah lali berhadapan dengan suasana banjir, namun dia tidak menafikan perasaan cemas setiap kali air sungai melimpah.

Dia yang tinggal di kampung berkenaan sejak 2012 berkata, setiap tahun mereka sekeluarga akan menjadi penghuni PPS berikutan kediamannya mudah dinaiki air berikutan terletak berhampiran sungai.

"Kami pernah pindah empat kali dalam setahun dan banjir yang menakutkan adalah pada tahun 2014 yang mana ketika itu rumah yang kami duduki hampir tenggelam," katanya.

Nur Asyiqin berkata, trend banjir yang cepat naik dan cepat surut menyebabkan dia dan anak-anak tidak perlu bermalam lama di pusat penempatan berkenaan.

"Paling lama pun kami bermalam selama tiga hari dan petang ini, air sudah mulai surut dan suami mengambil kesempatan itu untuk pulang membersihkan rumah," katanya.

NUR Ashiqin bersama anak-naknya berpindah ke PPS Kampung Shukor. FOTO Ghazali Kori.
NUR Ashiqin bersama anak-naknya berpindah ke PPS Kampung Shukor. FOTO Ghazali Kori.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 6:55 PM