Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju membenarkan perarakan sempena sambutan Thaipusam, 18 Januari ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan antara beliau bersama Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique, menteri kabinet, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, baru-baru ini.

"Dari segi dasar, kerajaan bersetuju memandangkan ini adalah satu perayaan agama.

"Kerajaan dan MKN bersetuju mengadakan perayaan Thaipusam serta pergerakan kereta berhala tetapi kita sudah menetapkan beberapa cadangan untuk memastikan kita mengawal penularan Covid-19.

"Ia diperhalusi dalam mesyuarat akan datang," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Kerjaya Orang Kurang Upaya di Pusat Dagangan Dunia Kuala Kumpur, di sini, hari ini.

M Saravanan. FOTO ASYRAF HAMZAH
M Saravanan. FOTO ASYRAF HAMZAH

Karnival selama sehari itu merangkumi pelbagai aktiviti seperti kaunseling kerjaya, bantuan pendaftaran Portal Pekerjaan Nasional, MYFutureJobs dan sesi temuduga terbuka.

Sebanyak 16 majikan mengambil bahagian dalam karnival khas kepada golongan istimewa ini dengan 1,967 peluang pekerjaan ditawarkan.

Antara majikan terbabit adalah Padini Holding Bhd, HDTEC Energy Sdn Bh, FMJ Synergy Sdn Bhd, Lulu Group Retail Sdn Bhd dan Teleperformance Malaysia Sdn Bhd.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, semua pihak perlu akur dengan ketetapan prosedur operasi standard bagi mengelakkan penularan Covid-19.

"Walaupun ini perayaan agama, semua lapisan masyarakat termasuk penganut Hindu perlu ada tanggungjawab dan memikul beban memerangi Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 4:33 PM