Allahyarham Norhayati dan Allahyarham Nur Dini Syaqirah. Foto Rosli Ilham
Allahyarham Norhayati dan Allahyarham Nur Dini Syaqirah. Foto Rosli Ilham
Rosli Ilham


DUA beranak maut selepas kereta dinaiki bertembung sebuah pacuan empat roda dalam kejadian di Kilometer 122, Jalan Jerangau-Jabur, Kampung Padang Kubu, Kemaman, hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira 12 tengah hari itu, Norhayati Ali, 55, dan anak perempuannya, Nur Dini Syaqirah Abu Seman, 21, maut di tempat kejadian.

Anak lelaki Norhayati, Mohd Shahrul Aiman, 23, yang memandu kereta Proton Iswara serta seorang cucunya berusia empat tahun bagaimanapun hanya cedera dan menerima rawatan di Hospital Kemaman.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Iswara dipandu Mohd Shahrul terbabas ke laluan kanan jalan sebelum bertembung dengan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah bertentangan.

Pemandu Toyota Hilux bersama tiga penumpang turut cedera dan menerima rawatan di hospital sama.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

"Sepasukan tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh terpaksa dipanggil bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Mayat dua beranak itu dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut manakala semua yang cedera dikejarkan ke hospital sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 5:13 PM