ANGGOTA bomba sedang mengeluarkan kesemua mangsa yang terperangkap dalam kereta. foto ERIKA George.
ANGGOTA bomba sedang mengeluarkan kesemua mangsa yang terperangkap dalam kereta. foto ERIKA George.
Erika George


Sarikei: Lima maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Batu 2 di Jalan Pakan, di sini, hari ini.

Dalam kemalangan 3.56 petang itu, kesemua mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita maut di lokasi kejadian.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak, kemalangan membabitkan Perodua Bezza dan Toyota Hilux.

"Identiti kesemua mangsa bagaimanapun belum dapat dikenal pasti.

"Tiga lagi mangsa yang menaiki Toyota Hilux cedera, dengan seorang daripadanya parah," katanya.

Menurutnya, pasukan bomba mengambil masa sejam bagi mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit dalam kereta berkenaan.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian kereta dinaiki kesemua mangsa maut dikatakan dari arah Sarikei menuju Pakan sebelum bertembung dengan Toyota Hilux terbabit dari arah bertentangan.

"Mangsa cedera dihantar ke Hospital Sarikei untuk rawatan, manakala mangsa yang meninggal dihantar ke unit forensik hospital sama untuk bedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 9:59 PM